Liew Daren menyertai PLPA tahun lalu.
Liew Daren menyertai PLPA tahun lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Purple League (MPL) mengesahkan 10 pasukan bakal berentap pada kejohanan badminton Purple League Pro-Am 2021 (PLPA) yang akan berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 21 hingga 26 Disember ini.

Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong berkata penganjuran PLPA memberi motivasi kepada pemain muda sama ada berstatus pemain kebangsaan atau pemain kelab untuk terus berlatih selain mengenal pasti bakat baharu dalam sukan badminton.

"Kebanyakan pemain berpotensi terpaksa memilih sama ada meneruskan pengajian atau memberi tumpuan kepada badminton selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Dengan adanya platform ini, ia dapat membantu kelab mengatur program dalam kalendar tahunan dalam usaha menggalakkan pemain muda terus menjalani latihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepuluh pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan yang bertanding dalam format 'round-robin'. Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Ho yang juga ahli jawatankuasa pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap dapat bekerjasama rapat dengan badan induk dan persatuan negeri dalam mewujudkan platform lebih kompetitif untuk pemain-pemain muda sedang meningkat naik.

Edisi sulung PLPA tahun lalu, menyaksikan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Lim Chi Wing, Yeoh Seng Zoe, Liew Daren dan Soong Joo Ven yang muncul juara selepas menewaskan Iskandar Zulkarnain pada perlawanan akhir perseorangan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:13 PM