Kuala Lumpur: Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) berjaya muncul kelab pertama menjulang trofi Junior Purple League selepas mengetepikan Kelab Badminton Nusajaya (Nusajaya BC) dengan perbezaan sembilan mata.

Petaling BC yang sebelum ini hanya menghuni tempat kedua berjaya memintas Nusajaya apabila menumpaskan Kelab Badminton Muar City (Muar City BC) 15-3 kelmarin dan kemenangan mereka disahkan dengan memenangi perlawanan terakhir mengalahkan Kelab Badminton Kepong (Kepong BC) 12-6 semalam.

Kedudukan liga selepas tamat 10 perlawanan semalam menyaksikan Petaling BC mengumpul 59 mata, diikuti Nusajaya BC 50 mata, manakala Kelab Badminton Ampang Jaya (Ampang Jaya BC) di tempat ketiga dengan mengumpul 25 mata.

Kejayaan Petaling BC jelas sekali dibantu oleh kecemerlangan pemain perseorangan lelaki Yeoh Sen Zoe yang akan mewakili negara pada Kejohanan Remaja Dunia di Peru bulan depan.

“Seng Zoe jelas sekali menerajui kemaraan kami hingga muncul juara apabila dia hampir memenangi semua perlawanan perseorangan lelaki untuk Petaling BC. Dia menumpaskan beberapa pemain bintang remaja seperti Tan Jia Wei, Leong Jun Hao, Sim Fong Hau dan Chia Wei Jie,” kata pengurus pasukan Petaling BC, AJ Wong.

Pada perlawanan terakhir bertemu Kepong BC semalam, Petaling BC bermula cemerlang apabila Seng Zoe menumpaskan pemain import dari Thailand, Kantawat Leelavechabutr 11-9, 11-6, 11-3, namun kedudukan kembali terikat 1-1 apabila perseorangan wanita tuan rumah, Ng Qi Xuan berjaya mengalahkan Laksika Kanlaha 3-11, 11-8, 11-9, 3-11, 11-6.

Petaling BC kembali di depan apabila beregu campuran mereka, Chen Tang Jie-Teoh Mei Xing menumpaskan Muhammad Nuraidil-Eng Pui Yee 11-9, 11-3, 11-5 dan kedudukan kembali terikat apabila beregu wanita tuan rumah, Ooi Shi Han-Toh Ee Wei mengalahkan Nathakorn Jaiareree-Sararat Chueboca 11-8, 10-11, 11-9, 11-7.

Gandingan beregu lelaki, Chen Jia Huo-Lew Ming Hui muncul wira apabila mengalahkan Helmie Zulhaidee Zulman-Krit Tantianankul 11-4, 11-6, 11-6.

Kejayaan itu menyaksikan Petaling BC muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, diikuti Nusajaya BC (RM50,000) dan Ampang Jaya BC (RM25,000).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:39 AM