Aktor Abhishek Bachchan amat berpuas hati dengan watak­nya sebagai Nandu dalam filem terbaru Happy New Year arahan Farah Khan yang ditayangkan di seluruh dunia pada sambutan Deepavali lalu.

"Watak Nandu 'me­ngejutkan' saya dan belum pernah dibawa sebelum ini. Dalam setiap tawaran berlakon, saya tidak pernah memilih watak dan siapa pelakon bakal bergandingan dengan saya.

"Tidak bermakna apabila saya pernah berlakon dengan Aamir Khan, Shah Rukh Khan dan Ajay Deygan, saya tidak boleh berlakon dengan aktor lain. Saya juga pernah berlakon dengan Hrithik Roshan dan John Abraham," katanya.

Bercakap mengenai Happy New Year, Abhishek amat menyukai jalan ceritanya di mana watak Nandu 'memaksanya' melangkaui watak lain yang pernah dibawanya.

"Saya dan Farah terpaksa 'mencipta' watak itu dari kosong sehingga 'menjadi' Nandu sebagaimana gambaran dalam skrip. Selama setahun kami berbincang dan kepada mereka yang me­nganggap melakonkan watak komedi itu mudah adalah mereka yang tidak memahami penerbitan filem," katanya.

Selanjutnya kata Abhishek, dia menerima setiap tawaran yang datang atas pertimba­ngan sama ada dia sendiri mahu menonton filem itu ataupun tidak.

"Saya tidak terima atas sesuatu yang sangat strategik atau ada perkiraan tertentu. Apa yang penting saya sukakan jalan ceritanya," katanya.

Selain Abhishek, bintang utama Happy New Year ialah Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, Sonu Sood, Vivaan Shah dan Boman Irani.

Sejak hari pembukaan tayangan filem itu pada 24 Oktober lalu, sehingga kini ia mencecah kutipan RM53.3 juta (versi bahasa Hindi dan kutipan itu belum termasuk versi dalam bahasa Telegu dan Tamil).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:00 AM