Sejak awal 1990-an lagi, industri filem Bollywood sudah menjadi pusat pengeluar filem utama di dunia.

Filem pertama yang diterbitkan di India dalam hitam dan putih berjudul Raja Harishchandra pada 1913. Sejak itu, penerbitan filem Bollywood terus berputar dengan pantas dan diterima peminat filem itu di seluruh dunia.

Pada era 1960-an, industri perfileman negara itu terus mengukir sejarah dan berjaya mengutip pulangan yang cukup besar antaranya filem Mughal-e-Azam (1960-an), Sholay (1975), Hum Aapke Hain Koun..! (1994) diikuti Dilwale Dulhaniya Le Jayenge dan Gadar: Ek Prem Katha.

Hum Aapke Hain Koun adalah filem Bollywood pertama yang berjaya mengutip RM30 juta di seluruh dunia.

Dengan kedatangan era milenium beserta pelbagai medium hiburan langsung tidak menjejaskan penerbitan filem Bollywood terus rancak. Pun begitu sebagaimana perniagaan lain, dunia perfileman pun ada pasang surutnya di mana bukan semua filem yang diterbitkan berjaya malah ada yang bertahan selama beberapa hari saja di pawagam.

Menutup tirai 2014, disenaraikan 10 filem yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung di seluruh dunia, 10 filem gagal dan 10 aktres paling popular dalam industri perfileman di Bollywood.

10 FILEM PALING LARIS DI SELURUH DUNIA

1. Dhoom 3: Back in Action

Dibuat dengan kos sebanyak RM69 juta, filem lakonan Aamir Khan dan Katrina Kaif pada tahun ini berjaya memecah rekod sebagai filem paling berjaya di India dan luar negara di mana ia berjaya mencatat kutipan RM255 juta daripada tayangan di seluruh dunia dalam masa dua minggu saja.

2. Chennai Express

Filem terbitan syarikat produksi Shah Rukh Khan (SRK), Red Chilli Entertainment ini pula jatuh nombor dua dengan kutipan tiket di seluruh dunia lebih RM180 juta. Filem aksi komedi dilakonkan sendiri SRK dan pelakon kesayangannya, Deepika Padukone dan diarahkan Rohit Shetty.

Kejayaan Chennai Express yang ditayangkan tahun lalu berjaya mengatasi rekod jualan tiket filem 3 Idiots pada 2009.

3. 3 Idiots

Filem Bollywood ketiga paling laris di seluruh dunia ialah 3 Idiots yang mencatat kutipan RM180 juta. Filem yang ditayangkan pada 2009 ini dibintangi Aamir Khan, Kareena Kapoor, R Madhavan, Sharman Joshi, Omi Vaidya, Parikshit Sahni dan Boman Irani.

4. Kick

Kick adalah filem lakonan Salman Khan yang paling dinantikan 2014. Dalam masa dua minggu saja filem itu berjaya menambat jutaan peminat di India dan antarabangsa.

5. Krrish 3

Filem superhero lakonan Hrithik Roshan pada tahun ini pula menyaksikan kejayaan berterusan filem itu sejak Krrish pertama lagi.

Sekuel Krissh 3 adalah arahan Rakesh Roshan yang turut dibintangi Vivek Oberoi, Priyanka Chopra dan Kangna Ranaut, berjaya mengutip RM150 juta di seluruh dunia.

6. Happy New Year

Dalam sehari tayangan di seluruh dunia filem arahan Farah Khan ini berjaya mengutip RM21 juta. Ia adalah filem pertama Bollywood yang berjaya mencipta sejarah luar biasa.

Filem itu yang dilancarkan pada sambutan Deepavali lalu turut diterbitkan dalam bahasa Tamil dan Telegu. Happy New Year dibintangi Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, Abhishek Bachchan, Sonu Sood, Boman Irani, Vivaan Shah dan Jackie Shroff.

7. Bang Bang!

Filem yang dibintangi Hrithik Roshan dan Katrina Kaif pula adalah filem aksi 'thriller' Bollywood paling laris di dunia tahun ini apabila mencatat kutipan sebanyak RM150 juta.

Ini adalah filem terbitan Fox Star Studio yang diarahkan oleh Siddharth Anand.

Bang Bang! diilhamkan daripada filem Hollywood, Knight and Day lakonan Tom Cruise dan Cameron Diaz.

8. Ek Tha Tiger

Filem ini pula berjaya mengutip RM147 juta di seluruh dunia yang menggabungkan lakonan hebat Salman Khan, Katrina Kaif, Ranvir Shorey, Girish Karnad, Roshan Seth dan Gavie Chahal.

Filem aksi romantik itu terbitan Aditya Chopra (Yash Raj Films) arahan Kabir Khan.

9. Yeh Jawaani Hai Deewani

Menduduki tangga kesembilan filem Bollywood terlaris di seluruh dunia ialah Yeh Jawani Hai Dewani yang dibintangi Ranbir Kapoor dan Deepika Padukone dengan kutipan sebanyak RM125 juta.

Turut menghangatkan lagi filem adalah kemunculan aktres terkenal, Madhuri Dixit yang beraksi menerusi lagu Ghagra.

10. Dabangg 2

Filem terakhir sekali yang mencipta sejarah tayangan terlaris di seluruh dunia ialah Dabangg2 yang diterbitkan Arbaaz Khan dengan kutipan RM100 juta. Ia adalah filem sekuel Dabangg. Dabangg 2 dirakamkan di Kanpur dibintangi Salman Khan dan Sonakshi Sinha.

10 FILEM GAGAL DI BOLLYWOOD

1. One By Two

Abhay Deol sebagai produser filem ini ternyata kecewa dengan penerimaan penonton terhadap filem ini yang dijangkanya akan berjaya.

Filem ini dikatakan tidak dipromosi dengan betul dan hanya bersandarkan kepada tuah.

Malangnya ada peminat filem yang tidak perasan langsung kewujudan filem itu pawagam dan hanya mendapat kutipan tidak sampai RM1 juta.

2. O Teri

Mengambil Salman Khan sebagai tunjang utama filem ini juga tidak memberi jaminan apabila ia gagal sama sekali.

Barangkali jalan cerita yang kurang menarik dan meski pun Salman menjadi taruhan utama, ia bergantung juga kepada garapan filem itu.

O Teri hanya mampu mencatat kutipan sebanyak RM2 juta saja.

3.Kaanchi

Kaanchi juga menerima nasib sama dengan kutipan sebanyak RM4 juta. Filem ini juga mendapat komen buruk daripada peminat filem.

Ia dibintangi aktor veteran, Rishi Kapoor dan Mithun Chakraborty.

4. Mr Joe B Carvalho

Panggung hampir kosong ketika filem ini ditayangkan di India. Mr Joe B Carvalho meletakkan pelakon komedi paling popular Bollywood iaitu Arshad Warsi sebagai hero namun ia gagal di pawagam.

Ramai yang memuji lakonan Arshad namun tetap gagal menarik minat penonton ke panggung. Filem itu hanya mampu mengutip RM2 juta.

5.Dishkiyaoon

Dibuat begitu lama dengan penuh berhati-hati, ternyata filem lakonan Harman Baweja itu tiada tuah.

Meskipun menampilkan Sunny Deol sebagai pelakon jemputan, aktor itu gagal memberi impak kepada filem terbitan aktres Shilpa Shetty itu. Ia hanya berjaya mengutip RM3 juta.

6. Revolver Rani

Ramai yang mengagumi Kangna Ranaut namun nama besarnya belum tentu boleh dijadikan pelaris filem. Mengejutkan Revolver Rani turut gagal. Ada yang menyukai filem ini dan tak kurang memberi kritikan negatif. Produser hanya mendapat kutipan RM5.5 juta saja.

7. Filmistaan

Filem ini mendapat maklum balas dan ulasan yang sangat bagus namun entah di mana silap, ia gagal di pawagam.

Pada hari sama filem ini ditayangkan, filem lakonan Akshay Kumar iaitu Holiday juga ditayangkan dan ada yang kata tayangan Holiday meranapkan harapan produser filem Filmistaan.

Ia hanya mencatat kutipan sebanyak RM6 juta.

8. Youngistaan

Malang filem Youngistaan kerana ditayangkan pada musim pilihan raya. Meskipun disuntik dengan elemen lagu yang merdu, ia gagal menjadi filem kegemaran ramai. Ia hanya mampu mengutip RM3.5 juta saja.

9. Total Siyapaa

Setahun filem ini lewat ditayangkan daripada jadual asal memberi kesan besar kepada sambutan penonton. Total Siyappa yang menggandingkan aktor kacak, Ali Zafar and Yami Gautam belum berjaya menambat hati penonton.

Produser hanya boleh berpuas hati dengan kutipan RM6 juta.

10. Bewakoofiyaan

Diberi suntikan komedi namun filem romantik ini tidak berjaya mencuri hari penonton. Ia hanya mengutip sebanyak RM7 juta.

10 AKTRES PALING POPULAR BOLLYWOOD

1. Deepika Padukone

Aktres jelita ini dinamakan aktres terbaik dan paling popular di Bollywood sepanjang tahun ini.

Dilahirkan pada 5 Januari, 1986, kebanyakan filem lakonannya laris dan dia terus menjadi rebutan produser dan pengarah filem.

Dia berjaya mencipta nama menerusi filem Om Shanti Om, Love Aaj Kal, Cocktail, Chennai Express, Race 2, Yeh Jawaani Hai Deewani dan Ram-Leela.

Tahun lalu dia bekerja keras untuk menjadi bintang paling bersinar di Bollywood dan tahun ini dia mengutip hasilnya. Filem terbaru lakonannya yang menunggu tarikh tayangan, Finding Fanny, Kochadaiiyaan dan Rana yang dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukannya di Bollywood.

2. Katrina Kaif

Kekasih Ranbir Kapoor ini memulakan kerjaya lakonannya dalam filem Boom. Walaupun filem itu tidak laku tetapi Katrina tetap mendapat perhatian produser dan pengarah Bollywood.

Berbekalkan kejelitaan, keseksian dan kulitnya yang cantik, namanya terus menjadi sebutan. Dia juga pernah mencipta kontroversi sebagai bekas kekasih aktor Salman Khan.

Antara filem lakonannya, Ajab Prem Ki Ghazab Kahani, Zindagi Na Milegi Dobara , Raajneeti, Singh is King, Mere Brother Ki Dulhan dan New York.

3. Priyanka Chopra

Priyanka Chopra yang dilahirkan di Jamshedpur, Bihar, kali pertama berlakon dalam filem Thamizhan pada 2002. Menyusul selepas itu, filem Andaaz, Aitraaz, Blackmail, Yakeen, Don, Don 2, Big Brother, God Tussi Great Ho, Dostana dan Ra One.

Pada 2013, Priyanka pernah cuba jadi penyanyi dengan menghasilkan album berjudul Exotic dan berjaya.

Dia turut meraih beberapa anugerah termasuk Apsara Film Producers Guild Awards, Asian Film Awards, IIFA, Filmfare dan Zee Cine Awards.

4. Kangana Ranaut

Aktres dan model, Kangana Ranaut bukan dilahirkan dalam keluarga seni. Ibunya seorang guru dan bapanya pula ahli perniagaan.

Dia meraih populariti menerusi lakonanya dalam fielm Gangster dan Fashion. Menerusi aksi hebatnya dalam Gangster, dia menang dua anugerah Filmfare.

Filem lain lakonannya, Once Upon A Time In Mumbai dan Shootout At Wadal. Pun begitu, kemunculannya dalam filem Krissh 3 meletakkannya sebagai aktres keempat paling popular di Bollywood.

5. Kareena Kapoor

Kedudukan Kareena Kapoor jatuh nombor lima. Semua ahli keluarganya adalah anak seni bermula bapa saudaranya Rishi Kapoor, Ranbir Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor.

Kakaknya, Karisma Kapoor terlebih dulu terjun dalam bidang lakonan.

Filem sulung lakonannya, Ashoka dan dia mula dikenali ramai selepas membintangi filem Jab We Met pada 2007. Filem terbaru lakonannya, Satyagraha dan Talaash.

6. Sonakshi Sinha

Aktres ini adalah anak kepada aktor veteran Shatrughan Sinha dan akres veteran Poonam Sinha. Sonakshi yang asalnya bertubuh gempal mula menampilkan bakat lakonannya dalam filem Dabangg pada 2010 dan diikuti Dabangg 2.

Kedua-dua filem itu meletakkan kedudukannya sebagai aktres elit.

7. Shraddha Kapoor

Shraddha Kapoor adalah anak kepada pelakon watak gelap dan komedi terkenal Bollywood iaitu Shakti Kapoor.

Filem pertama lakonannya berjudul Teen Patti dengan Amitabh Bachchan. Pun begitu, kehadirannya mula disedari penonton menerusi filem Aashiqui 2. Menariknya, Shraddha berusaha sendiri mencipta nama di Bollywood tanpa dibantu bapanya.

8. Huma Qureshi

Menduduki tangga kelapan aktres paling popular di Bollywood ialah Huma Qureshi. Aksinya dalam filem Gangs of Wasseypur meledak namanya. Filem lakonannya yang lain, D-Day dan Luv Shuv Tey Chicken Khurana.

9.Nargis Fakhri

Aktres berdarah campuran Pakistan dan Repubik Czech ini dilahirkan di New York, Amerika Syarikat pada 20 Oktober 1979.

Minatnya untuk berlakon mula bercambah ketika dia pulang ke Pakistan dan seterusnya dia mencuba nasib berlakon dalam filem blockbuster, Rockstar di samping Ranbir Kapoor. Kemudian dia berlakon dalam filem pecah panggung Madras Cafe dengan aktor John Abraham.

10. Parineeti Chopra

Kemantapan lakonannya dalam filem Shuddh Desi Romance (2013), Born To Hate (2012) dan Ladies vs. Ricky Bahl (2011), berjaya memberi impak kepada kerjaya lakonannya sehingga dia mampu berada dalam 10 artis paling popular di Bollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:03 AM