Selepas AbRam berusia lebih setahun barulah Datuk Shah Rukh Khan (SRK) mendedahkan wajah anaknya itu buat kali pertama kepada peminatnya.

AbRam adalah anak ketiga SRK yang dilahirkan Mei tahun lalu melalui kaedah ibu tumpang. AbRam sangat comel dan dalam Twitternya, SRK menulis "siapa yang melihat AbRam, pasti akan mencurinya."

Buat kali pertama juga AbRam berkongsi layar lebar dengan bapanya menerusi filem terbaru lakonan SRK, Happy New Year. Isterinya, Gauri Khan turut membuat kemunculan istimewa dalam filem itu.

Nampaknya, seluruh ahli keluarga SRK selesa menjadi tumpuan ramai di mana anak sulungnya, Aryan ketika kecilnya turut berlakon dalam filem Kabhie Khushi Kabhie Gham (2001). Gauri juga julung kali muncul dalam Om Shanti Om pada 2007.

Happy New Year turut dilakonkan Deepika Padukone, Abhishek Bachchan, Sonu Sood, Boman Irani dan Vivaan Shah, akan ditayangkan di India pada 23 Oktober ini.

Sebelum itu, bayi comel itu mula ditunjukkan kepada peminat SRK yang didukung pengasuhnya di tepi tingkap banglo superstar itu.

Pada 9 Julai 2013, SRK dan Gauri mengumumkan mereka mendapat anak ketiga namun mereka sentiasa melindungi si kecil itu daripada menjadi tumpuan ramai dan banyaklah cerita yang berlegar mengenai kelahiran bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 10:16 PM