PESERTA kanak-kanak turut mencuba nasib.
PESERTA kanak-kanak turut mencuba nasib.
ANTARA finalis Dil Se Naachein Indiawaale.
ANTARA finalis Dil Se Naachein Indiawaale.
Oleh Nor Akmar Samudin

Pertandingan program realiti tarian Dil Se Naachein Indiawaale sudahpun sampai ke kemuncak pada Sabtu dan Ahad ini yang bersiaran di Zee Variasi (Astro saluran 108), jam 9 malam.

Konsep tarian yang bertemakan kebahagiaan dan kegembiraan ini sebahagian daripada publisiti untuk filem terbaru terbitan syarikat produksi Shah Rukh Khan (SRK), Red Chillies Entertainment iaitu Happy New Year arahan rakan karibnya, Farah Khan.

Sejak Happy New Year memasuki pawagam pada Deepavali lalu, filem itu berjaya mencapai kutipan pecah panggung di seluruh dunia.

Ia turut dilakonkan SRK, Abhishek Bachchan, Deepika Padukone, Sonu Sood, Boman Irani dan Vivaan Shah.

Program realiti Dil Se Naachein Indiawaale yang membabitkan pelbagai tarian moden adalah yang pertama diterbitkan di India.

Dalam program berkenaan, semua peserta mempersembahkan format tarian mengikut kreativiti masing-masing dengan mempamerkan teknik, latihan dan gaya tersendiri.

Dalam erti kata lain, mereka bebas menari mengikut cita rasa sendiri.

Sepanjang program itu berlangsung, peserta diadili juri yang dipanggil Agents of Happiness yang terdiri daripada pelakon Happy New Year.

Sebanyak 10 kumpulan peserta bertanding untuk merebut gelaran juara antaranya The Bold and The Beautiful, Dancing Housewives, Ultimate Dance Kids, Priyanka & Group, Elena, Urban Dance Group, Mannat, Naveen Arya, Sudhendra & Family dan Street Movement.

Kegembiraan mereka ketika menyertai pertandingan akhir itu membolehkan semua kumpulan itu menerima gelaran 'India's Happiest Dancer'.

Program yang penuh kegembiraan dan gelak ketawa itu dihoskan Bharti Singh dan Jay Bhanushali.

Pada malam kemuncak itu, juri turut menyanyi dan menari .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM