FOTO AFP
FOTO AFP

Kuala Lumpur: Kawasan pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi akan diperluaskan kepada 120,000 kilometer (km) persegi jika tiada sebarang perkembangan positif misi pencarian menjelang Mei depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini 61 peratus daripada 60,000 km persegi sudah diperiksa dan fasa pertama dijangka selesai awal bulan depan.

"Malaysia, Australia dan China komited untuk meneruskan pencarian biarpun berdepan pelbagai cabaran seperti cuaca buruk," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tiga negara dengan Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang di ibu negara hari ini.

Warren Truss pula menegaskan adalah penting untuk mereka meneruskan operasi pencarian dan mencari jawapan untuk menghormati keluarga mangsa yang terbabit.

"Kami percaya lokasi pencarian ketika ini adalah yang paling tepat berdasarkan data satelit dan kami berharap pesawat berkenaan akan ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 5:55 PM