FERI yang terbabit nahas
FERI yang terbabit nahas
BERNAMA

Jakarta: Sebuah feri yang gagal beroperasi kerana masalah elektrik berlanggar dengan dua kapal kargo kayu di Pelabuhan Bajoe, Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan, pada petang Jumaat.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika feri KMP Mishima sedang bersiap untuk berlepas ke Pelabuhan Kolaka Sulawesi Tenggara, membawa 174 penumpang dan kenderaan.

Saluran berita tempatan Berita Satu melaporkan feri itu hilang kawalan dan melanggar kapal kargo kayu itu yang sedang berlabuh.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dan semua penumpang selamat dan dipindahkan ke feri lain.

Laporan berita itu menyatakan perlanggaran itu mengakibatkan kerosakan teruk kepada kapal kayu itu, dengan sebuah daripadanya mengalami keretakan di haluan dan di bahagian tengah kapal.

Pengurus KMP Mishima Asnur Aini berjanji untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan membayar ganti rugi kepada dua kapal yang rosak itu, biarpun kerosakan masih lagi dalam penilaian.

Satu video amatur yang diambil oleh seorang penduduk tempatan yang mendokumentasikan kejadian itu, dengan pantas mendapat perhatian di laman media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:33 AM