LIOW (tengah) selepas menyambut ketibaan kapal Fugro Equator di Kompleks Marine Australia, Port Henderson, semalam.
LIOW (tengah) selepas menyambut ketibaan kapal Fugro Equator di Kompleks Marine Australia, Port Henderson, semalam.

Putrajaya: Sebuah pasukan tindak balas diketuai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan ditubuhkan bagi mengendalikan semua perkara berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 selepas misi pencarian pesawat itu digantung 17 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan berkenaan akan meneliti segala maklumat termasuk penemuan serpihan pesawat pada masa depan dibantu komitmen berterusan daripada Australia, China dan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya tetap berpegang setiap maklumat yang diperoleh itu akan membawa kepada bukti lebih jelas dan dipercayai bagi mendapatkan petunjuk kukuh di mana lokasi sebenar bangkai pesawat berkenaan.

“Apa yang penting semua keputusan berkaitan MH370 sudah dilakukan dan akan sentiasa berada dalam semangat kerjasama tiga negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook (FB) milik beliau dari Perth, Australia, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan Liow sempena majlis menyambut ketibaan kapal terbabit misi pencarian MH370, Furgo Equator di Kompleks Marin Australia di Pelabuhan Henderson, Perth, Australia.

Program itu turut dihadiri Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester dan Ketua Pengarah Pusat Penyelarasan Maritim China, Zhi Guanglu.

Pada 17 Januari lalu, Liow mengumumkan misi pencarian pesawat MH370 kini digantung selepas usaha mencari di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berakhir hingga menemui bukti baru yang meyakinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:59 AM