LIOW (tengah) bersama Truss (kiri) dan Yang pada mesyuarat tiga negara peringkat menteri.
LIOW (tengah) bersama Truss (kiri) dan Yang pada mesyuarat tiga negara peringkat menteri.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur : “Operasi pencarian pesawat MH370 akan diteruskan dengan meluaskan lagi kawasan kepada 60,000 kilometer (km) persegi di Lautan Hindi mulai Jun sekiranya usaha ketika ini gagal,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bercakap pada sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss dan Menteri Pengangkutan China Yang Chuantang, beliau berkata, dalam fasa pertama ketika ini pasukan mencari ketiga-tiga negara sudah menjalankan operasi meliputi 60 peratus kawasan di lautan berkenaan.

Katanya, fasa awal itu membabitkan keluasan sama dijangka selesai bulan depan.

“Dengan pertambahan sekali ganda kawasan pencarian menjadikannya seluas 120,000km persegi, ketiga-tiga negara komited dengan bantuan dan nasihat pakar meneruskan pencarian di lokasi yang kita yakin ia kawasan yang betul.

“Selepas mesyuarat tadi, saya umumkan bahawa kami komited dalam usaha untuk mencari MH370,” katanya selepas mesyuarat tiga negara peringkat menteri di sini, semalam.

Ketika ini operasi pencarian pesawat terbabit yang hilang pada 8 Mac tahun lalu bersama-sama semua 239 penumpang dan anak kapal dilakukan di kawasan terpencil dan keadaan laut bergelora di Lautan Hindi.

Malaysia dan Australia memperuntukkan AUD$120 juta (RM341 juta) untuk operasi fasa pertama.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan mengisytiharkan MH370 hilang dalam kemalangan dan mengorbankan semua dalam pesawat.

Mengulas lanjut Liow berkata, usaha berkenaan akan diteruskan dengan mengambil kira kesedihan dan kehilangan anggota keluarga mangsa.

Katanya lagi, penggunaan semua aset sedia ada di lokasi akan diteruskan dalam fasa seterusnya dengan pertambahan kos namun tidak mahal seperti sebelumnya.

Sementara itu Truss berkata, fasa kedua itu dijangka menelan kos AUD$50 juta (RM142 juta), kurang sedikit berbanding kos sekarang kerana pasukan pencarian akan menggunakan aset dan peralatan sama yang digunakan sekarang.

Beliau berkata, Australia dan Malaysia akan membiayai kos pencarian itu.

Katanya, amat penting bagi keluarga yang terjejas memahami tentang perkembangan terkini nahas berkenaan bagaimanapun pencarian mungkin sukar berikutan ketibaan musim sejuk.

“Aset di sana mungkin tidak dapat digerakkan ekoran cuaca buruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:35 AM