LIOW (tengah), Chester (kiri) dan Yang ketika sidang media bersama selepas Mesyuarat Tiga Pihak MH370 Peringkat Menteri. FOTO Fariz Iswadi Ismail
LIOW (tengah), Chester (kiri) dan Yang ketika sidang media bersama selepas Mesyuarat Tiga Pihak MH370 Peringkat Menteri. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi akan ditangguh selepas pasukan mencari menamatkan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi yang dijangka antara Oktober hingga Disember ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Tiga Pihak peringkat Menteri antara Malaysia, Australia dan China yang berlangsung hari ini.

"Penggantungan tidak bermakna kita menamatkan operasi pencarian tetapi kami ingin menegaskan aspirasi untuk menjejaki MH370 tidak akan dihentikan.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat bukti yang kukuh berhubung pesawat, operasi pencarian akan diteruskan semula,"katanya pada sidang media bersama Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China, Yang ChuanTang di sini, hari ini.

Liow berkata, ketika ini operasi pencarian masih diteruskan merangkumi kawasan seluas 110,000 kilometer persegi, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar.

Katanya, kos bukan faktor utama penangguhan operai pencarian pesawat malang itu.

Selain itu, beliau turut menegaskan pihaknya yakin pencarian dilakukan di kawasan yang betul berdasarkan pandangan daripada pakar.

Sementara itu, Yang berkata, pihaknya juga sedar mengenai cabaran yang dihadapi dalam operasi mencari MH370 tetapi pernah mengubah komitmen mencari pesawat itu dengan kerjasama Malaysia, Australia dan China.

"Walaupun operasi mencari ditangguhkan, tidak bermakna kita menghentikan pencarian MH370 dan ia masih menjadi keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 4:23 PM