KAPAL Ocean Shield berlayar di selatan Lautan Hindi ketika operasi mencari pesawat MH370 pada 15 April 2014. FOTO Reuters
KAPAL Ocean Shield berlayar di selatan Lautan Hindi ketika operasi mencari pesawat MH370 pada 15 April 2014. FOTO Reuters

CANBERRA (Australia): Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang juga ketua misi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Martin Dolan tetap optimis pesawat itu akan ditemui, walaupun Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dan Timbalannya, Warren Truss memberi reaksi berbeza.

Abbott pada Khamis lalu memaklumkan kepada Parlimen Australia, beliau tidak boleh berjanji misi pencarian akan diteruskan pada tahap sekarang selama-lamanya.

Truss pula berkata, sudah pasti misi pencarian tidak akan diteruskan buat selama-lamanya ketika ditemubual Reuters seminggu sebelum genap setahun kehilangan pesawat berkenaan Ahad ini.

Menurut Dolan, pencarian tetap diteruskan berdasarkan maklumat yang ada.

"Kami yakin dengan maklumat terakhir mengenai pesawat itu, justeru kami melakukan pencarian di kawasan yang betul,” katanya kepada NBC.

Pada Mei depan, pasukan pencarian di bawah air dijangka melengkapkan pencarian dalam kawasan seluas 23,000 batu persegi ( 60,000 kilometer persegi).

Kos pencarian setakat ini dianggarkan bernilai USD40 juta (RM145 juta) dan dibahagikan sama rata antara Australia dan Malaysia.

Bagaimanapun, kos akan bertambah bertambah jika pencarian diperluaskan kepada 425,000 batu persegi (1.1 juta kilometer persegi) .

Dolan ketika ditanya mengenai perkembangan selepas Mei depan enggan mengulas lanjut.

"Kami tidak mahu melihat kemungkinan lain kerana keutamaan sekarang adalah mencari pesawat di lokasi yang sepatutnya dan dipersetujui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 8:58 PM