Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jika gemar memakai kardigan, anda boleh mempelbagaikan gabungan gaya untuk menyerlahkan penampilan.

Ia tidak seharusnya terhad kepada kardigan itu saja kerana anda juga boleh menyelitkan aksesori tambahan.

Berikut beberapa panduan untuk memilih fesyen kardigan dengan betul.

1: Lengkapkan dengan tali pinggang

Bagi menambah kelainan, anda boleh mengenakan tali pinggang di luar kardigan.

Sebaiknya, pilih tali ping­gang berbentuk tirus atau lebar. Ia memberi penampilan berbeza supaya gaya tidak 'mati' atau tampak biasa saja.

2: Selitkan dengan skaf dan aksesori lain

Jika memakai kardigan berwarna cerah dan polos, anda boleh menambah pemakaian aksesori seperti skaf dan beg tangan.

Paling disarankan, pilih beg tangan rekaan menyerlah seperti corak abstrak atau bunga besar.

3: Pilih rona cerah

Pemilihan rona perlu bersesuaian dengan usia. Golongan remaja atau wanita 20-an sesuai memakai kardigan rona terang dan cerah berbanding rona gelap bagi mereka yang lebih berusia.

Beberapa rona semula jadi seperti coklat, hitam atau krim memang wajib dimiliki. Namun, andai mahu kelihatan berbeza, tidak salah bergaya dengan kardigan cerah bercorak.

4: Kreatif menggabungkan gaya

Kardigan tidak semestinya dipakai dengan celana saja kerana skirt atau gaun labuh juga menarik untuk digayakan bersama.

Skirt atau gaun labuh potongan A sesuai dengan kardigan jenis pendek dan ia mampu menyerlahkan gaya retro menarik.

5: Gayakan bersama baju-T potongan leher V rona polos

Tahukah baju-T boleh membuatkan anda nampak lebih berisi? Untuk itu, pilih kemeja potongan leher bentuk V yang menampakkan anda lebih ramping.

6: Baju-T bercorak

Penampilan tidak kurang menarik jika menggayakan kardigan dengan baju-T bercorak.

Sama ada corak jalur atau motif abstrak, ia mampu menyerlahkan gaya kasual anda.

7: Kardigan untuk fesyen ke pejabat

Untuk ke pejabat, pilih kardigan rona lembut ­dengan rekaan tidak terlalu menonjol. Ia sesuai digayakan bersama kemeja potongan me­ngikut susuk tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM