SUAI padan pakaian boleh menampilkan gaya yang menarik.
SUAI padan pakaian boleh menampilkan gaya yang menarik.
Hafiz Ithnin

KEBIJAKSANAAN dalam menyuai padan pakaian mampu memberi kesan yang menarik kepada si pemakai sekiranya dapat dilakukan sebaiknya.

Malah kaedah suai padan juga membantu orang ramai supaya tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan gaya menarik.

Tidak dinafikan tema kelestarian pemakaian yang diangkat ramai pereka antarabangsa turut menonjolkan keupayaan suai padan dalam koleksi fesyen mereka.

Justeru, penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkongsi panduan aplikasi konsep suai padan dalam pemilihan pakaian anda.

Katanya, sebagai contoh, jika biasanya anda memakai blazer jalur halus dengan padanan seluarnya, apa kata kali ini tukar kepada jeans dan kasut 'ballet flats' untuk gaya kasual yang bersahaja.

"Sebagai tambahan dapatkan beberapa pakaian baharu yang boleh menambah pelbagai gaya hebat pada pakaian yang sedia ada seperti skirt bercorak atau gaun rona terang," katanya.

Apabila mahu membuat kombinasi gaya pakaian, guna pakaian asas untuk menyatukan gaya keseluruhan. Kemeja-T hitam atau jean potongan lurus adalah contoh helaian asas yang hebat digayakan dengan blazer bercorak atau seluar 'cropped'. Blazer, kardigan, 'tights' dan skaf antara padanan yang cukup versatil dan boleh menambah gaya pada penampilan dari siang hingga malam.

KREATIVITI menyuai padan pakaian boleh menjimatkan.
KREATIVITI menyuai padan pakaian boleh menjimatkan.

Reka corak berani dan terang cukup popular untuk musim ini. Ambil peluang ini untuk luahkan ekspresi diri apabila mencuba konsep suai padan. Gunakan corak di tempat yang tidak dijangka seperti pada skirt atau kasut rata dan gabungkan bersama padanan corak yang lain untuk lebih impak. Cuba padankan corak rumit dengan corak mudah seperti jalur atau polka dot untuk seimbangkan penampilan keseluruhan.

Tiada manual undang-undang yang menyatakan anda hanya boleh menggayakan satu warna bagi setiap penampilan. Eksperimentasi dengan kombinasi warna yang tidak pernah anda guna sebelum ini apabila menyuai padan fabrik bercorak atau polos. Gayakan kombinasi corak flora, jalur dan petak dengan penuh yakin dan bersahaja untuk gaya lebih unik.

Cuba berani gayakan pakaian dalam rona senada (seperti biru dan biru kehijauan) atau warna kontras seperti ungu dan kuning. Jika anda memakai skaf bercorak, jadikan kombinasi warna skaf itu sebagai panduan untuk anda memilih warna bagi padanan pakaian dan aksesori. Jadikan warna neutral seperti hitam, putih atau abu coklat (beige) sebagai warna pelengkap gaya anda.

Jangan takut menambah suntikan warna bagi menjadikan penampilan lebih mengujakan. Sepasang kasut dalam rona terang atau mungkin topi yang menarik serta aksesori hebat selalunya dapat membuat transisi penampilan biasa menjadi hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 8:24 AM