SERLAH penampilan apabila pakaian, barangan lama nampak baru.
SERLAH penampilan apabila pakaian, barangan lama nampak baru.
Redzuan Muharam


Bosan kelihatan terlalu ringkas atau malu memakai baju sama berulang kali?

Mudah saja, tidak perlu membeli pakaian baru sebaliknya jadikan ‘patch’ sebagai teman rapat anda.

Kini, pelbagai jenis dan corak ‘patch’ dijual di pasaran termasuk dalam talian, jadi cuba sesuaikan dengan pakaian yang ada di dalam simpanan anda.

Percayalah, ‘patch’ bukan hanya menyerlahkan penampilan anda malah menjadikan pakaian atau barangan lama kelihatan baru.

Tidak susah, cuma perlu gosok ‘patch’ dengan seterika. Pendek kata, anda boleh lakukan sendiri (DIY) mengikut kreativiti.

Berikut antara barangan yang boleh disesuaikan dengan ‘patch’ :

BAJU-T

‘Patch’ paling sesuai diletakkan pada baju T lebih-lebih lagi yang tidak bercorak.

Letak ia di bahagian depan serta belakang dan padankan bersama seluar denim.

Itu sudah cukup menjadikan gaya kasual anda mengancam!

JAKET DENIM

Sama seperti baju-T, ‘patch’ juga boleh diletakkan pada jaket denim kesayangan anda.

Selain depan dan belakang, anda juga boleh meletakkan ‘patch’ pada bahagian lengan jaket.

Kemudian, padankan bersama baju-T warna polos supaya tidak kelihatan terlalu sarat.

SELUAR

Jangan buang denim lusuh anda sebaliknya jadikan ‘patch’ sebagai alternatif supaya ia kelihatan baru.

Seperti biasa, letak mengikut kreativiti tetapi jangan terlalu banyak jika tidak mahu nampak sarat.

BEG

Bukan setakat pakaian dan seluar saja, ‘patch’ juga sesuai untuk barangan lain dan salah satunya adalah beg.

Cuba lakukan dan jangan terkejut jika ada teman bertanya di mana anda membeli beg berkenaan ketika memakainya ke kuliah atau tempat kerja.

TUDUNG

Gadis hijabista juga tidak harus ketinggalan mengikut trend ini dengan meletakkan ‘patch’ pada bahagian tudung.

Cuma, lebih sesuai jika ia diletakkan pada tudung berwarna polos supaya ‘patch’ berkenaan tidak tenggelam. Barulah stail!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 4:37 AM