PERLU bijak suai padan dengan baju, jaket atau apa saja aksesori dirasakan sesuai.
PERLU bijak suai padan dengan baju, jaket atau apa saja aksesori dirasakan sesuai.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


REMAJA dan denim sukar dipisahkan. Tidak kira lelaki atau perempuan, seluar denim menjadi padanan terbaik untuk aktiviti lasak dan santai kerana mudah dipadankan.

Selain seluar, skirt denim juga menjadi pilihan popular, bagi remaja perempuan berhijab.

Selain ringkas, skrit labuh dari fabrik jenis ini menonjolkan gaya lebih sopan, feminin serta mudah disuai padan mengikut gaya diingini.

Kata pemilik jenama Pophead, Raja Nur Azreen Raja Mohd Ghazali, ada banyak cara untuk tampil menarik dengan hanya sehelai skirt denim. Apa yang pasti, jangan terburu-buru mencari baju baru untuk mendapatkan gaya unik lagi menarik.

Lebih penting, pemakai perlu bijak menyuai padan skirt dengan baju, jaket atau apa saja aksesori untuk menghasilkan gaya yang berbeza.

Bongkar isi almari, pilih sama ada baju-T polos, blaus bercorak atau kemeja dan mulakan proses suai padan mengikut kreativiti anda.

“Enam gaya ringkas ini antara yang boleh dicuba menggunakan skirt denim potongan A. Pilih rona biru lembut untuk mereka yang berbadan kurus atau biru gelap untuk remaja bertubuh saiz sederhana.

“Skirt denim rona biru gelap dipercayai membawa efek kurus. Jadi, pilih baju bersesuaian supaya bahagian tubuh atas dan bawah nampak seimbang,” katanya.

Jelas Raja Nur Azreen, setiap individu bebas memilih baju dan aksesori sesuai untuk dipadankan mengikut gaya, personaliti, keperluan majlis mahupun keselesaan diri, asalkan tidak tersasar hingga dilabel ‘mangsa fesyen’.

“Lazimnya, skirt denim labuh menjadi pilihan wanita bertudung. Mereka selesa mengenakan baju longgar yang tidak menampakkan potongan tubuh.

“Jadi, saya cadangkan enam baju sesuai antaranya, blaus gingam (motif petak) dengan lengan kembang, baju panas rona kuning terang, kemeja putih, jaket denim bersama baju-T berjalur, blaus potongan kimono dan jaket parka.

“Tudung dipilih mengikut keselesaan pemakai. Sementara jenis sepatu dan sandal pula bergantung kepada tujuan, sama ada untuk bersantai, ke pejabat, ke kelas, ke pantai dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:10 AM