BAJU berlapis dan denim potongan sendat  boleh menenggelamkan penampilan pemakai.
BAJU berlapis dan denim potongan sendat boleh menenggelamkan penampilan pemakai.
Redzuan Muharam


Memiliki tubuh gempal atau besar bukan alasan untuk anda bergaya dan ia terbukti apabila semakin ramai remaja dengan fizikal sebegitu mempunyai keberanian untuk berfesyen.

Perkembangan positif itu amat baik kerana dapat menggalakkan lebih ramai individu yang mempunyai kekurangan diri untuk bergaya.

Namun, terdapat juga beberapa perkara perlu diberi perhatian supaya apa yang dipakai sesuai dengan tubuh dan tidak kelihatan keterlaluan.

Jika tidak, kekurangan diri itu akan lebih terserlah sekali gus mencacatkan keseluruhan penampilan. Jadi, katakan ‘tidak’ kepada lima padanan berikut:

1. Baju lekap tubuh

Baju lekap yang mengikut bentuk badan sememangnya cantik dipakai sekiranya individu berkenaan bertubuh langsing atau ideal.

Ia kerana potongan berkenaan nampak sempurna pada tubuh pemakai, tetapi bukan pada mereka yang mempunyai perut buncit.

Jadi, elakkan memakai baju dengan potongan sendat atau lekap pada tubuh sebaliknya pilih saiz yang lebih besar untuk lebih selesa.

Jangan risau kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana anda menggayakan sesuatu pakaian dan tidak semestinya mereka yang memakai baju lekap tubuh lebih bergaya!

BAJU sendat menyerlahkan lagi kekurangan yang ada pada individu bertubuh besar.
BAJU sendat menyerlahkan lagi kekurangan yang ada pada individu bertubuh besar.

2. Denim potongan sendat

Seluar denim ibarat satu kemestian dan menjadi pakaian wajib ada bagi setiap individu kerana selesa dipakai dan sesuai dipadankan bersama baju, jaket, gaun mini dan persalinan lain.

Sebab itu, pemilihannya amat penting jadi jangan paksa diri memakai denim potongan sendat jika saiznya terlalu ketat hingga menyebabkan pergerakan anda terbatas.

Sebaik-baiknya, pilih potongan denim lain dan paling penting dapat menyembunyikan kekurangan yang ada terutama di bahagian paha.

Percayalah, keselesaan itu lebih penting berbanding terlalu mencuba untuk bergaya sehingga menjadi mangsa fesyen!

DENIM potongan sendat kurang sesuai jika ia membataskan pergerakan pemakai.
DENIM potongan sendat kurang sesuai jika ia membataskan pergerakan pemakai.

3. Sut

Sut lengkap dengan tali leher boleh dianggap pakaian yang agak universal kerana tidak hanya lelaki, tetapi wanita juga boleh memakainya.

Bagaimanapun, mereka yang bertubuh besar perlu memilih potongan sesuai bagi memastikan ia tidak nampak terlalu longgar atau sendat dengan anda.

Dapatkan nasihat daripada pereka atau tukang jahit kerana mereka tentunya tahu apa yang lebih baik untuk tubuh anda.

Selain itu, pandangan ahli keluarga atau rakan terdekat juga boleh diambil kira dalam membantu anda membuat pilihan.

PEMILIHAN sut penting untuk pemakai yang bertubuh besar.
PEMILIHAN sut penting untuk pemakai yang bertubuh besar.

4. Baju berlapis

Tidak dinafikan, memakai baju berlapis contohnya baju-T di bahagian dalam dan jaket di luar boleh menutup kekurangan yang ada pada diri anda.

Namun, pastikan ukurannya sesuai kerana jika tidak, ia akan menenggelamkan tubuh badan anda sebagai pemakai.

Mudah saja, jika memakai kardigan labuh, pastikan anda memadankannya dengan baju-T di bahagian dalam jenis lekap tubuh dan seluar potongan sendat atau ‘legging’.

Begitu juga dengan pakaian lain kerana memakai pakaian berlapis itu tidak salah cuma perlu bijak menyuai padan supaya nampak seimbang dan tidak menyerlahkan kekurangan mana-mana bahagian pada tubuh anda.

5. Baju dan seluar bercorak

Corak pada baju dan seluar antara yang perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak besar kepada anda sebagai pemakai.

Jadi, jangan terpengaruh dengan patung model yang diletakkan di kedai atau butik pakaian di pusat beli- belah.

Sebaliknya, anda perlu mencuba pakaian itu terlebih dulu untuk melihat sama ada ia sesuai atau tidak.

Pemilihan sembarangan perlu dielakkan terutama jika anda tidak mahu kelihatan lebih besar berbanding saiz sebenar!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 6:59 AM