Inspirasi fungsi pengangkutan seperti basikal, motosikal, kereta, teksi atau bas menjadi ilham rekaan dalam koleksi pakaian serta aksesori ditampilkan Bonia untuk musim dingin dan luruh 2014.

Helaian gaya kasual inspirasi daripada rona roda dengan menampilkan tiga warna pilihan iaitu hitam, putih dan melange (gabungan kuning dan oren).

Bagaikan pilihan menarik buat si pencinta fesyen tatkala menghadapi musim dingin dan luruh dengan koleksi Navajo, kardigan lengan panjang atau ves gaya retro bercorak.

Menggunakan 100 peratus fabrik kapas yang dikait, setiap rekaan pada helaian ditampilkan tampak lebih menarik dengan tekstur monokrom tweed.

Tidak ketinggalan, rekaan baju-T berkolar yang dicipta dengan corak garisan hasil kombinasi rona hitam dan putih atau melange pasti menarik perhatian.

Ia dilengkapi dengan elemen butang atau zip pada bahagian leher bagi mencipta gaya tersendiri tatkala bertugas di hujung minggu.

Selain baju, aksesori juga memainkan peranan penting untuk tampil menarik, kemas dan bergaya sepanjang masa walau di mana saja kita berada.

Memikirkan saiz beg yang kecil dan mudah dibawa menjadikan koleksi bekas iPad mini ini menjadi rebutan sesetengah jejaka kerana pilihan ini praktikal tatkala melakukan urusan kerja mahupun aktiviti pengembaraan.

Diperbuat daripada kulit sepenuhnya dengan rona jingga, ia menonjolkan gaya klasik. Di samping itu, rekaan poket yang nipis dengan hiasan plak timbul dan lapisan dalam beralas juga menarik perhatian.

Poket bahagian dalam direka bagi memudahkan si pemakai untuk menyimpan gajet selain ditambah dengan zip di luar bagi mengelakkan gajet yang dibawa jatuh atau hilang.

Uniknya, bekas gajet berkenaan juga dilengkapi dengan formula antikusam bagi mengelakkan warnanya menjadi pudar dalam masa singkat. Bukan itu saja, kehadiran beg messenger dalam rona biru dan coklat gelap juga selesa dibawa ke mana saja.

Tampil bergaya dengan kehadiran pelbagai fungsi poket di bahagian dalam dan luar beg untuk memudahkan pemakai me­nyimpan telefon bimbit dan barangan penting lain.

Tali diperbuat daripada fabrik nilon yang boleh dilaras dan penambahan zip pada beg berkenaan menjadikannya tampak lebih klasik serta praktikal.

Tenang menunggang motosikal klasik tatkala mengharungi jalan yang sesak tanpa bimbang sampai lewat ke pejabat membuat­kan semangat untuk melakukan tugasan semakin bertambah.

Bawa saja beg sandang atau beg messenger dengan gaya diinginkan bagi menonjolkan penampilan maskulin dan tampan selain mudah dibawa ke mana saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM