CORAK kegemaran sekitar 70-an kini jadi pilihan peragaan antarabangsa. - FOTO Google
CORAK kegemaran sekitar 70-an kini jadi pilihan peragaan antarabangsa. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang gemar berfesyen, pastinya baju bercorak kotak-kotak berada dalam almari kerana ia salah satu pakaian yang mudah untuk digayakan terutama secara kasual.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, kebangkitan kembali reka corak kotak-kotak (plaid atau tartan) inspirasi 70-an dalam dunia fesyen pada tahun ini, menjadi taruhan di atas pentas peragaan antarabangsa.

"Eksperimentasi pereka dengan reka corak kotak-kotak atau tartan dalam pelbagai rona neutral, terang dan lembut menyuntik aura segar dalam koleksi terbaharu mereka.

"Jenama seperti Prada, Hermes, Celine, Tome dan Marni mengutarakan variasi rekaan seperti kot, seluar, skirt dan gaun dalam fabrik kotak-kotak yang paling kontemporari, menarik serta dramatik," katanya.

Justeru, Faizal kongsikan panduan untuk menggayakan trend reka corak kotak-kotak yang mudah dipraktikan semua:

1. Pakai satu pakaian corak kotak-kotak pada sesuatu masa.

Ada pelbagai variasi warna dan gaya tartan untuk menjadi pilihan anda. Namun, jika semua padanan pakaian dan aksesori yang dipakai adalah dalam corak kotak-kotak yang berlainan, penampilan anda pasti kelihatan semak untuk dilihat. Oleh itu, pilih hanya satu jenis reka corak dan warna yang paling memberikan impak.

Gayakan corak kotak-kotak dengan padanan rona neutral polos. Gaya ini menawarkan elemen kontras yang mudah, ringkas serta cukup 'stylish' digayakan sesiapa sahaja.

Rona neutral juga cukup versatil dipadankan dengan mana-mana variasi corak kotak-kotak. Contohnya, kemeja corak kotak-kotak dalam rona terang cukup menarik dipadankan dengan jean biru atau seluar khaki.

Antara warna neutral termasuk putih, hitam, khaki, denim biru, kelabu, kuning air dan coklat. Jika anda mahu padankan corak kotak-kotak dengan pakaian (dalam satu warna polos yang lain) selain rona neutral, pilih antara warna polos yang ada dalam corak kotak-kotak yang menjadi pilihan anda.

Contohnya jika anda memakai jean biru yang terang, padankan ia dengan kemeja atau blaus atau top dengan corak kotak-kotak yang ada sedikit elemen rona biru terbabit (sama ada lebih cerah, gelap atau terang).

PADANAN dengan helaian lain turut sesuai dengan baju kemeja bercorak kotak-kotak. - FOTO Google
PADANAN dengan helaian lain turut sesuai dengan baju kemeja bercorak kotak-kotak. - FOTO Google

2. Pilih corak kotak-kotak dalam fabrik yang sesuai mengikut musim atau cuaca.

Contohnya musim bunga, fabrik kapas ringan untuk kemeja, stoking dan topi. Musim panas, fabrik kapas ringan untuk kemeja, skirt, seluar pendek, jumpers dan kemeja-T.

Musim luruh, fabrik flannel untuk kemeja, kot dan topi. Musim sejuk pula fabrik flannel tebal untuk kemeja, jaket dan skaf. Pilih reka corak dan saiz kotak-kotak yang dapat menyerlahkan pakaian dan penampilan anda. Ada variasi warna, gaya dan saiz yang sesuai untuk pelbagai cara.

Antara jenis reka corak yang menjadi pilihan, tartan saiz corak yang besar dan klasik. Selalunya dengan latar rona hijau gelap dengan kotak-kotak biru kelasi, kuning dan merah. Menarik untuk selimut, skaf.

3. Saiz corak kecil, rapat-rapat, empat persegi. Garis halus berlatarkan rona neutral. Cukup kemas dan kontemporari. Segak untuk kemeja separuh formal atau kasual.

Madras, saiz besar, corak jalur berwarna-warni dan terang. Cantik digunakan untuk gaun dan kemeja flannel longgar. Gingham, dua warna corak kotak-kotak dengan jalur yang lebar. Hebat untuk gaya retro.

Pemakaian aksesori dalam corak kotak-kotak adalah cara mudah bagi menyuntik ceria dalam penampilan keseluruhan anda. Apa pun perlu dingat, memakai lebih daripada satu pakaian atau aksesori dalam corak kotak-kotak adalah tidak digalakkan kecuali ia adalah dalam reka corak dan warna serupa. Contoh aksesori: topi, skaf, tali leher, sapu tangan, beg tangan dan kaca mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 6:43 AM