Oleh Erywan Norshal


Bentuk yang garang dengan kategori motosikal 'naked' menjadi kekuatan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd untuk memperkenalkan jentera dua roda berkuasa tinggi terbarunya menerusi Suzuki GSR 750.

Penampilan jentera terbaru itu mungkin mengakhiri kalendar tahun 2014 yang bakal berakhir dalam sebulan lagi selepas syarikat berkenaan memperkenalkan empat model sebelum ini membabitkan Suzuki Hayabusa, GSX1250FA, GSX-R1000 ABS dan V-Strom 1000 ABS pada Mac lalu.

Bagi model Suzuki GSR 750, ia dalam kategori motosikal golongan pertengahan dengan kombinasi reka bentuk moden dan futuristik, selain digabungkan gaya tunggangan menyeronokkan.

Ia tampil garang dan agresif yang menerapkan rekaan lebih teliti serta kemas dengan bentuk tangki bahan api isian 17.5 liter tampak berani. Perumah lampu depan besar menggunakan mentol halogen 60/55W, sekali gus mampu memberi pencahayaan lebih terang ketika malam.

Selain itu, pencahayaan meter kelajuannya yang boleh dilaras tampak lebih unik dengan bacaan kelajuan digital LCD dan memaparkan purata kelajuan, tahap penggunaan bahan api, gear, jarak perjalanan serta jam.

Gaya pengendaliannya yang terbaik dengan padanan sepit udang (fork) depan jenama KYB, manakala suspensi belakang kategori link dengan penyerap hentak tunggal boleh dilaras tujuh peringkat.

Kuasa hentian menggunakan sistem brek depan berkembar bersaiz 310 milimeter (mm) dengan kombinasi bahagian belakang dipadankan brek tunggal 240 mm.

Ia juga dibantu dengan Sistem Brek Antikunci untuk mengawal kelajuan dan menyesuaikan daya brek diperlukan, sekali gus memberi keyakinan ketika kelajuan tinggi.

Yang berbeza dengan model lain, ia dijanakan dengan enjin empat silinder DOHC sejukan cecair dan suntikan bahan api bersesaran 749 cc.

Rangkaian kuasa itu me­nyalurkan kuasa maksimum 105 kuasa kuda (hp) pada 10,000 rpm dengan tork setinggi 80 Nm pada 9,000 rpm.

Kuasa disalurkan itu dikawal oleh transmisi enam kelajuan dan turut menawarkan penjimatan bahan api terbaik.

Penjimatan itu berpunca daripada teknologi pendikit badan dengan sistem Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang menyumbang kepada kecekapan pembakaran bahan api.

Enjin itu juga memenuhi piawaian emisi terkini, manakala sistem 'Suzuki Pulsed Secondary AIR-Injection' (PAIR) menyuntik udara segar ke dalam ekzos untuk bertindak balas dengan hidro karbon yang tidak terbakar bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Sementara itu, Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, Toru Kobayashi berkata, tahun depan pihaknya akan memperkenalkan lima lagi model motosikal berkuasa tinggi menerusi Suzuki Gladius ABS, V-Strom 650 ABS, V-Strom 650XT ABS, GSX-S1000 ABS dan GSX-S1000F ABS.

Menurutnya, pihaknya akan terus komited untuk menambah bilangan wakil jualan motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan lebih baik.

"Semua wakil jualan motosikal berkuasa tinggi Suzuki mempunyai juruteknik terlatih dan dilengkapi peralatan canggih untuk melayani pemilik motosikal.

"Kami juga akan menyediakan alat ganti tulen mencukupi untuk memberi kepuasan kepada pelanggan," katanya.

Suzuki GSR750 ditawarkan dengan warna putih dan hitam yang dijual pada harga bermula RM53,888.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM