TIGA model terbaru Suzuki.
TIGA model terbaru Suzuki.
Oleh Erywan Norshal


Kurang setahun, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd menunjukan momentum agresif dalam memperkenalkan jentera dua roda berkuasa tinggi di negara ini.

Bermula dengan motosikal berkuasa melebihi 1,000 cc sebelum disusuli bersesaran 750 cc dan kini pula mempertaruhkan jentera berkapasiti 650 cc membabitkan Suzuki V-Strom 650 ABS, V-Strom 650XT ABS dan Gladius 650 ABS.

Ketiga-tiganya menggunakan enjin sama, tetapi setiap model menawarkan keperluan segmen berbeza dengan tarikan tersendiri berdasarkan kehendak penunggang.

Bagi model Suzuki V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS, ia dalam kategori Sport Adventure Tourer namun mempunyai sedikit perbezaan antara kedua-duanya.

Suzuki V-Strom 650 ABS boleh dikatakan cemerlang untuk tunggangan di jalan raya, manakala V-Strom 650XT ABS lebih sesuai kepada penunggang yang gemarkan aktiviti pengembaraan, termasuk keupayaan meredah laluan lasak.

Rekaan bagi V-Strom 650XT ABS tampak lebih tajam di bahagian depannya serta menyampaikan gaya lebih agresif dengan kelebihan meningkatkan pe­nyejukan enjin.

Malah, ia boleh dilengkapi pelbagai aksesori tambahan mengikut cita rasa pemilik seperti kotak penyimpan barangan di bahagian tepi, bar pelindung enjin dan lampu kabus LED.

Mengikut spesifikasi enjin­nya, ia menggunakan rangkaian kuasa V-Twin yang menyalurkan prestasi pecutan dengan gabungan sistem suntikan bahan api termaju untuk mengimbangkan kuasa dan tahap penggunaan bahan api.

Kuasa daripada enjin itu disalurkan kepada transmisi enam kelajuan yang sesuai untuk tung­gangan sporty apabila gear satu hingga lima ditala dengan nisbah pendek, manakala tinggi bagi gear enam untuk keselesaan tungga­ngan di lebuh raya.

Suzuki Gladius 650 ABS adalah jentera kategori ‘street bike’ dengan padanan bingkai ‘trellis’, sekali gus memberi penampilan menarik.

Selain itu, ia lebih rendah de­ngan ketinggian tempat duduk setinggi 0.785 meter yang memudahkan serta memberi keselesaan ketika di lampu isyarat atau mengundurkan motosikal.

Namun, ia turut ditawarkan tempat duduk lebih tinggi dengan penambahan ketinggian sehingga 0.02 meter.

Bagi memberi pengendalian terbaik, model berkenaan dileng­kapi gegelung suspensi depan dan belakang boleh laras, selain meter kelajuan memaparkan ciri menarik dengan bacaan analog serta digital.

Sementara itu, Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, Toru Kobaya­shi berkata, ketiga-tiga model itu bakal menyumbang penjualan syarikatnya sehingga 300 unit dan menjangka varian V-Strom 650XT ABS mencatat populariti tertinggi.

Menurutnya, harga jualan bagi V-Strom 650 ABS (RM41,900), V-Strom 650XT ABS (RM43,900) dan Gladius 650 ABS (RM39,900).

Kobayashi turut memaklumkan, pihaknya mengkaji untuk membawa masuk motosikal bersesaran 250 cc dan menjangka ia akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:03 AM