SUZUKI GSX-S1000F yang mempunyai firing.
SUZUKI GSX-S1000F yang mempunyai firing.
SUZUKI GSX-S1000 tampak garang bagi kategori naked.
SUZUKI GSX-S1000 tampak garang bagi kategori naked.
PADANAN brek Brembo.
PADANAN brek Brembo.
KLUSTER instrumen yang menarik.
KLUSTER instrumen yang menarik.
LAMPU belakang tampak ringkas.
LAMPU belakang tampak ringkas.
Oleh Erywan Norshal


Sejak kebelakangan ini, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd (SAMSB) peka dengan permintaan pasaran motosikal berkuasa tinggi yang dilihat semakin rancak dalam industri automotif tempatan.

Syarikat berkenaan bukan saja menjual motosikal moped atau skuter, malah kini cuba menguasai pasaran jentera dua roda berkuasa tinggi dengan memperkenalkan beberapa model menarik sebelum ini.

Kini, SAMSB mempertaruhkan dua model terbaru daripada siri GSX-S dengan dikuasa enjin bersesaran 999 cc yang dibangunkan daripada jentera legendanya iaitu GSX-R1000 dan GSX-RR.

Namun, dua model terbaru menerusi Suzuki GSX-S1000 ABS dan Suzuki GSX-S1000F ABS itu dicipta khusus untuk tunggangan jalanan yang lebih mementingkan keselesaan.

Perbezaan antara Suzuki GSX-S1000 dan Suzuki GSX-S1000F adalah dari segi penampilan yang masing-masing membabitkan model ‘naked’ serta ‘fairing’.

Kedua-duanya menggunakan enjin empat lejang dan ditala untuk kegunaan jalanan dan turut dipadankan cecair penyejuk yang menjadi lagenda bagi enjin empat silinder sebaris model Suzuki GSX-R1000.

Enjin baru itu juga menyampaikan tindak balas pendikit yang lancar dan pantas serta kawalan pecutan untuk memberi prestasi sebenar.

Ia turut memberi tumpuan kepada kuasa yang lebih pada ‘low dan mid-range’ selain enjin itu menggunakan sesondol dioptimumkan untuk menyampaikan prestasi bersesuaian bagi tunggangan jalanan.

Menariknya, ia dilengkapi sistem kawalan cengkaman termaju yang mempunyai tiga mod membolehkan penunggang mengawal pendikit dengan lebih yakin dalam pelbagai keadaan.

Sistem itu memeriksa kelajuan roda hadapan dan belakang, mengesan kedudukan pendikit, kedudukan engkol (crank) serta posisi gear sebanyak 250 kali dalam sesaat.

Mod 1 adalah tahap kepekaan terendah dan paling sesuai untuk penunggang mahir atau keadaan permukaan jalan yang memberi cengkaman terbaik.

Mod 2 pula memberi tahap kepekaan peringkat pertengahan yang sesuai untuk kebanyakan penunggang, manakala Mod 3 untuk keadaan jalan raya dengan cengkaman terhad atau permukaan jalan basah.

Imej baru bagi model ‘naked’ tampak lebih agresif apabila ia membangkitkan imej seperti haiwan membongkok, dengan kedudukan lampu LED dibentuk seakan-akan taringnya.

Malah, kuasa hentiannya menggunakan komponen terbaik daripada Brembo angkup monoblok seperti model Suzuki GSX-R1000, malah Sistem Brek Antikelincir (ABS) membantu penunggang berada dalam kawalan.

Meter kelajuannya pula lebih interaktif bagi bacaan meter kelajuan, takometer, odometer, meter jarak perjalanan, posisi gear, suhu penyejuk dan persekitaran, jarak menunggang, purata penggunaan bahan api, tahap bahan api, kawalan cengkaman serta jam.

Siri Suzuki GSX-S didatangkan dengan pilihan warna merah, biru dan kelabu.

Ia dijual pada harga asas RM68,400 bagi Suzuki GSX-S1000, manakala Suzuki GSX-S1000F pada RM74,400 tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:01 AM