TORU (dua dari kanan) melancarkan tiga model motosikal berkuasa tinggi, semalam.
TORU (dua dari kanan) melancarkan tiga model motosikal berkuasa tinggi, semalam.
Oleh Erywan Norshal

Shah Alam: Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, pengedar motosikal berkuasa tinggi jenama Suzuki di negara ini menyasarkan 600 unit jualan dalam segmen berkenaan pada tahun ini.

Pengarah Urusannya Toru Kobayashi berkata, sasaran itu membabitkan penjualan lapan model merangkumi varian terbaru yang diperkenalkan semalam iaitu Suzuki V-Strom 650 ABS, V-Strom 650XT ABS dan Gladius 650 ABS.

Menurutnya, ketiga-tiga model itu bakal menyumbang penjualan syarikatnya sehingga 300 unit dan menjangka varian V-Strom 650XT ABS mencatatkan populariti yang tertinggi.

“Bagi mencapai sasaran penjualan segmen motosikal berkuasa tinggi, kami akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelanggan seperti terbabit dengan program ‘Track Day’ di Litar Antarabangsa Sepang, Kejohanan Superbike Dunia (SBK) dan MotoGP.

“Permulaan kami dalam pengedar motosikal berkuasa tinggi masih lagi baru selepas mencatatkan jualan sehingga 200 unit sejak beroperasi 10 bulan lalu,” katanya selepas melancarkan Suzuki V-Strom 650 ABS, V-Strom 650XT ABS dan Gladius 650 ABS, di sini, semalam.

Harga jualan bagi V-Strom 650 ABS (RM41,900), V-Strom 650XT ABS (RM43,900) dan Gladius 650 ABS (RM39,900).

Toru berkata, sebagai pengedar rasmi jenama motosikal berkuasa tinggi Suzuki, pihaknya akan memastikan menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik dan menyediakan alat gantian dalam tempoh singkat kepada pelanggan.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengkaji untuk membawa masuk motosikal bersesaran 250 cc dan menjangka ia akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Suzuki V-Strom 650 ABS adalah motosikal segmen Sport Adventure Tourer, V-Strom 650XT ABS (pengembaraan) dan Gladius 659 ABS (naked).

Ketiga-tiga model yang diimport dari Jepun itu berkongsi rangkaian kuasa sama membabitkan enjin empat lejang V-Berkembar dua silinder dengan bersesaran 645 cc, selain menggunakan kotak gear enam kelajuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 10:24 AM