SUZUKI 650 V-Strom
SUZUKI 650 V-Strom
SUZUKI GSR-750
SUZUKI GSR-750
SUZUKI GSX-1250FA
SUZUKI GSX-1250FA
PENUNGGANG ketika melepasi sempadan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam.
PENUNGGANG ketika melepasi sempadan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam.
OTHMAN (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah, Abdul Aziz Yusoff, 61, (enam dari kanan).
OTHMAN (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah, Abdul Aziz Yusoff, 61, (enam dari kanan).
TERPEGUN melihat peniaga di pasar terapung di Hatyai, Thailand.
TERPEGUN melihat peniaga di pasar terapung di Hatyai, Thailand.
PENUNGGANG menjamu selera di sebuah restoran di Hatyai.
PENUNGGANG menjamu selera di sebuah restoran di Hatyai.
Erywan Norshal dan Mohd Napi Ibrahim


Biarpun berbeza segmen seperti ‘naked’, ‘sportbike’ dan ‘touring’, motosikal berkuasa tinggi jenama Suzuki membuktikan ia mempunyai ciri keistimewaannya tersendiri.

Setiap segmen dihasilkan pengeluar motosikal dari Jepun itu ternyata memberi kekuatan mengikut kesesuaian atau kemahuan penunggangnya.

Bagi menguji keupayaaan motosikal itu, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd menawarkan lima unit motosikal tunggang uji kepada penulis dan rakan media dari Harian Metro untuk merasai sendiri keupayaan ketiga-tiga segmen jenama berkenaan.

Bagaimanapun, hanya tiga unit motosikal yang digunakan membabitkan Suzuki GSR-750, GSX-1250FA dan V-Strom 650, manakala Gladius serta V-Storm 1000 tidak digunakan berikutan dua penunggang terpaksa menarik diri di saat akhir menyertai tunggang uji itu, baru-baru ini.

Tunggangan yang meliputi perjalanan lebih 1,000 kilometer itu dinamakan ‘Ride Santai Harian Metro Kuala Lumpur-Haytai’ menjadi tunggangan jarak jauh pertama buat penulis dan rakan media lain.

Malah Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro, Othman Mamat selaku Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro bersama kira-kira 10 rakan lain turut menyertai serta memeriahkan tunggang uji itu.

Rombangan itu juga berkesempatan singgah ke Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah di Jalan Stesen, Sungai Bakap Nibong Tebal untuk memberi sumbangan cek RM5,000 yang bakal digunakan untuk menambah baik dan memperbaiki pelbagai kekurangan di pusat pengajian berkenaan.

Apa yang penting, segala perjalanan itu berjalan lancar biarpun terpaksa menunggang pada waktu malam untuk tiba ke destinasi dengan menempuh pelbagai cabaran membabitkan hujan dan jerebu.

Suzuki GSR-750

Biarpun ramai menganggap motosikal segmen ‘naked’ tidak sesuai untuk tunggangan jarak jauh, ia adalah salah selepas penulis menguji jentera berkenaan dengan perjalanan lebih 1,000km.

Bersesuaian dengan tema ‘ride’ santai, motosikal ini ternyata memberi kepuasan dengan gaya tunggangan dalam kelajuan purata 150 kilometer sejam (km/j).

Tiada lenguh atau penat sepanjang perjalanan, malah rasa teruja dan selesa apabila tidak perlu memberi terlalu fokus berbanding menunggang secara agresif pada kelajuan tinggi.

Memandangkan perjalanan itu berlaku kesesakan, Suzuki GSR-750 menjadi juara untuk menunggang di celah-celah kenderaan.

Gaya pengendaliannya boleh dianggap mudah biarpun penulis tidak biasa menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Berbekal enjin 750 cc dengan empat silinder suntikan bahan api, penyampaian torknya cukup baik. Hanya sedikit memulas pendikitnya, kuasa yang dibekalkan sangat luar biasa.

Sepanjang perjalanan itu, boleh dikatakan penulis hanya menggunakan gear enam untuk memecut pada kelajuan maksimum selepas kuasa yang sangat responsif.

Tahap penggunaan bahan apinya tidaklah terlalu ‘mewah’, ini kerana penulis hanya mengisi minyak kurang daripada RM110 untuk perjalanan itu.

Reka bentuk pula boleh dikatakan sangat garang terutama bahagian tangki dan belakang yang mempunyai garisan tajam bagi mengekalkan bentuk aerodinamik.

Harganya bermula RM49,900 sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), boleh dianggap tidak terlalu mahal jika dibanding model import lain.

Suzuki 650 V-Strom

Pengendalian jentera tunggangan jarak jauh atau touring, Suzuki 650 V-Strom tidak sesukar mana walaupun memiliki susuk tubuh yang tegap, besar dan seberat 214 kilogram (kg).

Namun berbekalkan nadi enjin V sesaran 645 cc membolehkan jentera ini menghamburkan kuasa yang secukupnya, baik di jalan raya atau di lebuh raya.

Walaupun memiliki susuk tubuh yang besar dan tinggi, penulis mampu mengharungi kesesakan jalan raya dengan tenang apabila perahan pendikit minyak hasil teknolgi Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) membantu mengawal motosikal ketika mencelah dan mengikut kemahuan penunggang.

Sepanjang menguji di lebuh raya, penggunaan palam pencucuh iridium berkembar mampu melonjakkan kuasa diperlukan terutama ketika memintas kenderaan yang bergerak laju di laluan kanan.

Dengan saiz tangki bahan api sebesar 20 liter, penunggang tidak perlu kerap ke stesen minyak kerana sistem Throttle-body Integrated Idle Speed Control (TI-ISC) Suzuki menawarkan penjimatan bahan api terutama ketika menunggang di kota yang sesak, memecut di lebuh raya atau menghidupkan enjin pada waktu pagi.

Sebagai jenama yang cukup dikenali dengan jentera beprestasi tinggi, Suzuki tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan apabila Suzuki 650 V-Strom dilengkapi brek cakera berkembar 310 milimeter (mm) digabung bersama sistem brek antikekunci (ABS) pada roda hadapan dan cakera 260mm di belakang.

Boleh dikatakan, reka bantuk motosikal ini tidak ketinggalan zaman dan mampu bersaing bersama jenama lain bagi kategori sama, tetapi adalah lebih baik sekiranya lampu brek belakang dihiasi dengan pancaran cahaya merah LED. Penggunaan mentol biasa yang konvensional dilihat kurang diminati pada zaman moden ini.

Namun dengan harga asas sekitar RM39,500 tanpa cukai jalan, insurans dan GST, motosikal ini pasti menjadi perhatian penunggang yang mahu beralih kepada jentera dua roda jenis tunggangan jarak jauh atau mereka yang mahu mencari motosikal berkuasa tinggi pertama.

Suzuki GSX-1250FA

Suzuki GSX-1250FA memiliki enjin bersesaran 1,255 cc yang terbaik dalam kelasnya dengan prestasi pecutan memenuhi setiap masa keperluan penunggangnya.

Enjin berkapasiti besar ternyata menawarkan kuasa yang menarik apabila menunggang kelajuan tinggi antara 180 sehingga 200 km/j selain ia masih lagi rasa stabil.

Perjalanan jarak jauh sangat sesuai dengan motosikal ini kerana tidak terasa cepat penat apabila posisi pemegang yang tegap serta kurang rintangan angin ketika menunggang dalam kelajuan tinggi.

Kemasukan setiap gearnya juga lancar, malah penulis tidak perlu menukar terlalu kerap kerana kuasa tork yang dibekalkan cukup baik.

Bentuknya yang besar serta padanan suspensi pada Suzuki GSX-1250FA ternyata memberikan cengkaman padu untuk pengendalian di kawasan selekoh.

Dengan reka bentuk yang hebat, Suzuki GSX-1250FA memberikan kepuasan meluncur di lebuh raya dengan lancar dan selesa selain sesuai untuk perjalanan siang dan malam.

Motosikal dengan enjin berkapasiti besar ini hanya dijual bermula RM68,500 sebelum GST.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:02 AM