PENGUNJUNG terpegun dengan barangan antik di galeri itu.
PENGUNJUNG terpegun dengan barangan antik di galeri itu.
ZAKARIA menunjukkan teko tembaga.
ZAKARIA menunjukkan teko tembaga.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Menjadikan rumah didiaminya sebagai galeri atau muzium mini antara pendekatan berbeza pesara ini kerana sangat meminati barangan antik.

Keunikan barangan lama yang menjangkau usia ratusan tahun itu ternyata ada nilai tersendiri yang begitu untuk tatapan generasi akan datang.

Berikutan itu, Zakaria Nik, 61, nekad menjadikan kediamannya sebagai galeri menyimpan khazanah tempatan dan antarabangsa.

Katanya, minat yang berputik sejak lebih 10 tahun lalu itu membolehkan dia kini memiliki lebih 4,000 barangan antik.

Ia membabitkan lampu kapal laut, teko tembaga, jam dinding, ukiran kayu, lukisan, cawan, pinggan dan replika kapal.

Malah, pesara Jabatan Pertanian Pahang itu sanggup ‘mengorbankan’ kediamannya di Indera Mahkota 8, Kuantan, untuk tampil sebagai galeri.

Rumah setingkat itu diubah suai bagi menempatkan semua barangan antik pelbagai saiz dan reka bentuk yang dikumpulnya sejak tahun 1996.

“Saya sekeluarga berpindah ke kediaman baru di kawasan sama. Sokongan isteri dan anak meningkatkan lagi usaha mengumpul lebih banyak koleksi barangan antik.

“Galeri saya kini turut menjadi tumpuan peminat barangan antik yang datang untuk melihat lebih dekat,” katanya yang mengakui ada peminat ingin membeli koleksinya.

Katanya, dia mula meminati barangan antik selepas berjaya memiliki lampu kapal laut menggunakan minyak.

Disebabkan minat, dia sanggup membeli dengan RM50 daripada seseorang yang asalnya mengambil barangan antik itu di sebuah kapal karam di perairan daerah ini.

“Bermula dari itu, saya terus mencari ke seluruh pelosok negara termasuk 20 negara lain bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan antik yang dijual dengan harga antara RM100 hingga RM3,000,” katanya.

Zakaria juga sanggup membuang rasa malu apabila sanggup ke merata tempat di kawasan kampung bertemu penduduk untuk mendapatkan barangan antik.

“Saya pernah memikul periuk tembaga di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Perasaan malu diketepikan kerana minat mendalam terhadap barangan antik,” katanya.

Katanya, pada peringkat awal pembabitan mengumpul barangan antik itu, dia sering ditipu penjual di beberapa negara seperti Indonesia, China, India, Nepal, Sri Lanka dan Vietnam yang meletakkan harga tinggi dengan pelbagai alasan.

Menurutnya, disebabkan terpengaruh dengan pujukan itu, dia membelinya tanpa berfikir panjang dan menganggap begitu bertuah dapat memiliki barangan antik, padahal ia masih baru.

Sempat juga dia berkongsi petua jika ingin membeli barangan antik di pasaran antarabangsa.

“Pembeli perlu berani tawar-menawar hingga mencecah 60 peratus selain tidak perlu terlalu menunjukan minat terhadap barangan antik yang ingin dibeli,” katanya.

Ada juga kes barangan antik dijual tidak tulen terutama dari luar negara yang sebenarnya dihasilkan semula bagi memenuhi permintaan.

Selain meminati pelbagai jenis barangan tembaga yang digunakan masyarakat Melayu suatu ketika dulu, Zakaria juga meminati lampu kapal laut menggunakan minyak.

“Saya membelanjakan lebih RM100,000 bagi mendapatkan pelbagai barangan antik dan sanggup melakukan apa saja bagi mendapatkannya. Wang bukan ukuran.

“Hampir setiap bulan saya merantau di dalam dan luar negara semata-mata untuk mendapatkan barangan antik.

“Kini saya juga ada pengikut yang terdiri daripada rakan pesara. Sambil mencari barangan antik di kawasan pedalaman dan pasar karat, saya serta rakan turut berpeluang melancong sambil mengenali negara luar,” katanya yang pernah menuntut selama lima tahun di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 8:10 AM