HAIROL Budiman melayan pengunjung kanak-kanak. FOTO Mohd Rafi Mamat
HAIROL Budiman melayan pengunjung kanak-kanak. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

“SEJAK kira-kira 20 tahun lalu, minat terhadap barangan antik muncul dalam jiwa saya, pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi termasuk diganggu makhluk halus," kata Hairol Budiman Abu Bakar.

Dia yang berusia 47 tahun sangat dikenali dalam kalangan penduduk di daerah ini, sebagai antara pengumpul dan penjual pelbagai barangan antik.

Katanya, kebanyakan barangan lama dan antik dalam simpanannya dikumpul secara berperingkat sebelum dijual kepada peminat barangan itu dengan harga antara RM100 hingga mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada kualiti, usia dan saiz.

“Boleh dikatakan kebanyakan barangan ini saya beli daripada pemilik asal dengan harga yang ditetapkan dan ia bergantung kepada budi bicara mereka... ada yang jual pada harga RM100 dan ada juga yang memerlukan saya berbelanja lebih daripada RM500.

“Ini semua dilakukan kerana minat dan sebagai cara saya menghargai nilai sejarah barangan antik berkenaan. Kebanyakannya (barangan antik) saya simpan untuk buat koleksi peribadi dan hanya menjualnya kepada peminat yang betul-betul boleh menjaga barangan itu dengan baik," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Pekan, hari ini.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam gambar. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam gambar. FOTO Mohd Rafi Mamat

Hairol Budiman yang meminati sejarah berkata, kebanyakan barangan lama mempunyai kisah dan sejarah tersendiri, nilai serta keunikan yang hanya difahami penggemar koleksi barangan antik itu sahaja.

“Saya sanggup menjelajah ke merata kampung tradisional di negeri ini untuk mendapatkan barangan lama dan antik yang dianggap tidak bernilai oleh sesetengah

individu, terutama generasi muda.

“Sebelum ini, saya membawa sebahagian daripada koleksi ke Taman Kerang, dekat bandar Kuantan pada hujung minggu untuk dipamerkan dan dijual kepada peminat barangan antik.

“Namun, sejak sebulan lalu, saya membuka premis khas bagi tujuan pameran dan jualan yang dinamakan Rumah Koleksi dan Karat Pekan di Jalan Rompin Lama,” katanya.

Dia berkata, ketika ini, terdapat lebih 30 jenis barangan lama dan antik dalam simpanannya seperti basikal, keris, gambar, mesin jahit, buku, pakaian pengantin masyarakat Melayu, botol minuman dan beg.

Katanya, minat terhadap barangan lama dan antik itu mendapat sokongan penuh isterinya, Emi Novika Mohd Noor, 47, selain rakannya yang turut menjadi pengumpul barangan klasik.

#kw kumpul barang lama, koleksi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 11:19 AM