SABIAH bersama sebahagian barangan antik miliknya dan suami.
SABIAH bersama sebahagian barangan antik miliknya dan suami.
Mohd Rafi Mamat


Gandingan minat dan kreatif pada dua insan berdarah seni ini bagi menghasilkan kediaman di Rancangan Rumah Murah (RRM) Kolek, Kuantan yang unik dengan dihias pelbagai barangan antik menarik serta sukar ditemui.

‘Muzium mini’ berusia lebih 30 tahun itu turut menyimpan beg dan bekas penyimpanan yang suatu ketika dulu digunakan untuk menyimpan biji timah di Sungai Lembing sebelum dihantar ke luar negara menggunakan kapal laut.

Bermula hanya untuk memenuhi masa terluang di rumah, kini ia menjadi hobi utama kepada Sabiah Kamaludin, 51, dan suami, Ab Aziz Jaffar, 51, mengumpul barangan antik selain menghasilkan barangan kraftangan berasaskan kayu.

“Saya mengumpul barangan antik sejak 30 tahun lalu dan kini mempunyai lebih 300 barangan pelbagai jenis seperti tin, beg, kraftangan, buku, pinggan mangkuk, lampu, cawan, tempayan, duit syiling dan mesin jahit.

“Disebabkan terlalu minat, saya dan suami tidak malu mencari barangan terpakai di tempat membuang sampah selain ada juga barangan dibeli di ‘pasar karat’,” katanya yang mempunyai hobi membaca buku dan majalah lama.

Sabiah berkata, ada juga barangan lama diberi jiran dan rakan yang menyokong aktiviti diusahakan dia sekeluarga. Malah almari kayu, beg dan kayu terpakai antara peralatan disumbangkan.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, memiliki minat sama dengan suami menjadi kelebihan kepadanya untuk menjadikan rumah mereka sebagai muzium mini yang menyimpan pelbagai jenis barangan termasuk perabot kayu cengal.

Katanya, darah seni suaminya yang memiliki kemahiran membina rumah selain menghasilkan kraftangan berasaskan kayu menjadi pelengkap kepada minat menyimpan barangan antik selain disokong tiga anak remaja.

Beliau yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, beberapa perabot, kerusi, pintu rumah dan pelantar berehat dihasilkan suami menggunakan kayu cengal sumbangan jiran.

“Saya puas dan berbangga setiap kali melihat barangan antik tersimpan kemas dalam rumah. Setiap bahagian dalam rumah tersusun barangan yang mempunyai nilai sejarah dan kenangan bagi mereka yang pernah menggunakannya.

“Banyak barangan yang saya simpan menjadi kenangan pahit dan manis ketika zaman kanak-kanak. Contohnya pinggan mangkuk, cawan, buku, majalah dan alat memasak kuih pernah digunakan keluarga satu ketika dulu.

“Arwah ibu memiliki banyak koleksi barangan kaca dan dia juga suka membaca pelbagai jenis majalah resipi masakan, pakaian dan isu semasa. Mungkin hobi berkenaan turun kepada saya sekeluarga,” katanya yang berazam untuk terus mengumpul barangan antik.

Paling mahal barangan antik dibeli dengan harga RM30 dan beliau tidak pernah membaiki barangan berkenaan bagi mengekalkan keaslian yang begitu unik membabitkan warna dan jahitan. Warna putih menjadi pilihan barangan disimpan.

Banyak buku dan |majalah yang disimpan rosak ketika insiden banjir besar pada tahun 2011 apabila rumahnya ditenggelami air lebih seminggu. Kejadian banjir kali pertama itu memusnahkan buku miliknya dan arwah ibu.

“Saya tidak akan berhenti mengumpul barangan antik walaupun terpaksa berada di tempat membuang sampah dan ruang rumah menjadi sempit kerana ada banyak barang,” katanya yang juga memiliki kemahiran menjahit pakaian wanita.

Bagi Ab Aziz darah seni dan kemahiran yang ada dalam dirinya membolehkan dia menghasilkan pelbagai jenis barangan kraftangan berasaskan kayu dan rotan. Sarung parang, lukah memangkap ikan dan jala antara kerja tangan dihasilkan.

“Saya juga tukang rumah suatu ketika dulu namun selepas insiden terjatuh ketika membuat rumah menyebabkan saya meninggalkan terus kerja berkenaan.

“Saya menambah pendapatan keluarga dengan menghasilkan sarung parang dan beberapa jenis kraftangan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang seronok setiap kali melihat barangan antik simpanannya.

Malah, beliau dan isterinya sanggup memikul kayu untuk dibawa pulang bagi menghasilkan barangan serta perabot hiasan di dalam rumah. Walaupun nampak buruk, nilai sejarah yang ada begitu bererti pada dia serta keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:04 AM