Nasaruddin (kanan) melihat basikal tua model BSA di Port Dickson yang juga sebahagian basikal (gambar kecil) untuk dibawa pulang ke galeri miliknya di Kundasang, Sabah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Nasaruddin (kanan) melihat basikal tua model BSA di Port Dickson yang juga sebahagian basikal (gambar kecil) untuk dibawa pulang ke galeri miliknya di Kundasang, Sabah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


MINAT terhadap barangan antik dan basikal lama membuatkan seorang pesara guru sanggup ‘terbang’ jauh semata-mata untuk mendapatkan barangan diminatinya itu.

Nasaruddin Muhammad, 58, yang menetap di Kundasang, Sabah menempah tiket penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapatkan sebuah basikal tua yang dijual pemiliknya di Port Dickson, hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia mula minat mengumpul pelbagai koleksi barangan antik itu sejak 2010 ketika bertugas sebagai guru di Sabah.

“Saya berasal dari Banting, Selangor tetapi berkhidmat di Sabah sejak 1984 dan mendirikan rumah tangga di sana. Sejak itu, saya terus menetap di sana.

“Saya mula minat kepada barangan antik dan mendapatkannya di sekitar Sabah. Namun, disebabkan minat yang mendalam saya sanggup mencarinya di seluruh Semenanjung,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurut Nasaruddin, dia kini mempunyai 22 basikal tua, beca dan pelbagai barangan antik seperti lampu gaslin, lesung batu, meja, televisyen yang dibeli di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Berikutan minatnya itu, Nasaruddin berkata, dia sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan barang yang dianggap mempunyai nilai sejarah berharga.

“Kalau sudah minat, kos bukan lagi masalah utama kerana yang penting saya mesti mendapatkannya.

“Ada basikal yang dibeli dengan harga serendah RM200 sehingga RM4,500,” katanya.

Selain itu, katanya, dia berhasrat untuk membuka sebuah galeri mempamerkan barangan antik miliknya itu di Kundasang, Sabah.

“Saya bercadang melengkapkan galeri itu dengan motosikal dan kereta antik bagi membolehkan pengunjung bergambar.

“Saya juga akan bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah bagi menarik pelancong.

“Saya akan menambah pelbagai lagi barangan antik dari semasa ke semasa bagi memenuhi impian saya membuka galeri itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 6:06 PM