NORDIN menunjukkan bilik Baba Nyonya di rumahnya di Kampung Padang Temu.
NORDIN menunjukkan bilik Baba Nyonya di rumahnya di Kampung Padang Temu.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pesara kerajaan, Nordin Ali, 80, yang menetap di Kampung Padang Temu di sini, memiliki hobi unik dengan mengumpul perabot dan peralatan masyarakat keturunan Chetti serta Baba Nyonya.

Nordin berkata, sebuah bilik dilengkapi pelbagai set pengantin Chetti yang dijaga rapi sebagai tanda cintanya terhadap khazanah komuniti terbabit.

Menurutnya, selain bilik Chetti, dua bilik lagi menempatkan katil dan persalinan masyarakat Baba dan Nyonya serta masyarakat Melayu yang digunakan sebelum merdeka.

Katanya, dia membeli katil dan semua set almari dengan kos awal kira-kira RM8,000 daripada seorang pemilik peralatan itu.

“Antara peralatan itu ialah tepak sireh, gobek pinang selain tempat lilin, loceng Chetti, kelambu dan beg pakaian.

“Saya juga menyimpan lima unit kipas pengantin selain peralatan kecil menghias diri yang digunakan masyarakat terbabit,” katanya.

BILIK yang dihias menggunakan perabot Chetti di rumah Nordin.
BILIK yang dihias menggunakan perabot Chetti di rumah Nordin.

Dia berkata, nilai semasa peralatan berkenaan dianggarkan RM30,000 atau lebih berikutan barangan antik lebih lama disimpan lebih bernilai tinggi.

Namun, dia tidak berniat menjual peralatan berkenaan kerana hobi serta minat mendalam terhadap peralatan antik.

Dia dan isteri, Maznah Ali, 58, turut memiliki set peralatan pengantin Baba Nyonya yang dianggarkan bernilai RM800,000 berikutan ia lengkap malah jenis yang sama pernah dijual di Hong Kong kira-kira 20 tahun lalu dengan nilai RM200,000.

Katanya, dua bilik terbabit dibuka kepada orang ramai untuk dilawati setiap hari selain turut menyimpan lebih 2,200 barangan antik lain.

Antara barangan lama yang disimpan ialah peti nyanyi dan radio berusia 130 tahun, set pinggan mangkuk, barangan tembaga dan lampu isyarat kereta api arang batu, peluru meriam Belanda, pelita pekerja rumah api Belanda, mangkuk susu getah kaca pertama, tanglung Cina dan peti ais lama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 10:46 AM