ZAKARIA menunjukan sebahagian koleksi barangan antik dan unik yang terdapat di kedainya di Taman Tasik Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
ZAKARIA menunjukan sebahagian koleksi barangan antik dan unik yang terdapat di kedainya di Taman Tasik Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Minat suami isteri mengumpul barangan antik dan unik sebelum dipamerkan di kedai makan mereka menjadi tarikan kepada pengunjung.

Pemilik Restoran D'Tasik, Zakaria Daud, 66, berkata dia dan isteri Nasitah Awang, 63, berkongsi minat yang sama mengumpul barangan antik dan unik sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, mereka memiliki koleksi 30 biji pinggan bunga kangkung era 1980-an dan tiga bilah gergaji lama ekor buaya yang dipamerkan di kedai mereka.

"Idea membuka restoran berkonsepkan dalam taman, klasik dan santai itu tercetus apabila saya dan isteri mempunyai minat yang sama terhadap barangan antik.

"Koleksi barangan antik seperti mesin getah, tanduk kerbau, botol minuman serta pinggan mangkuk lama menjadi hiasan kedai ini kerana mempunyai nilainya tersendiri.

"Saya mengumpul barang itu sejak lebih 30 tahun lalu dan dulu sangat mudah diperolehi daripada orang kampung, namun kini sukar dijumpai," katanya ketika ditemui di restorannya, di sini.

Pesara kerajaan itu berkata, mereka pernah diuji pada 2014 apabila kedai makan miliknya yang terletak di Kampung Kundur dihanyutkan dalam banjir besar.

"Dalam kejadian banjir besar itu, kami kehilangan banyak koleksi barangan antik termasuk 4,000 botol kaca pelbagai jenama berusia lebih 60 tahun yang kini tinggal 500 botol sahaja.

"Kami reda dan cuba bangkit dengan membina kembali perniagaan dengan konsep yang sama iaitu mempamerkan barangan antik dan unik di kedai untuk tatapan pengunjung.

"Barangan ini akan mengimbau kembali kenangan lama selain menjadi tatapan untuk generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 2:58 PM