Kuala Lumpur: Desas-desus mengenai tidak disenaraikan dalam skuad Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad bulan depan nyata memberi kesan mendalam buat pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng (gambar).

Pemain kelahiran Kedah itu berkata, dia berkemungkinan tidak disenaraikan untuk ke kejohanan berkenaan yang akan dijadikan pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2016 di Kushan, Mei ini.

“Saya mungkin tidak bermain. Mengapa saya tidak disenaraikan, perlu tanya kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia. Mungkin mereka mahu membariskan pemain muda,” katanya ketika ditemui media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun, setakat ini BAM masih belum membuat keputusan muktamad siapa bakal disenaraikan ke kejohanan berkenaan.

“Mungkin mereka (pihak pengurusan) masih belum membuat keputusan muktamad. Saya cuma mendengar nama saya tidak akan disenaraikan. Saya memang mahu beraksi di kejohanan itu tapi semua terserah kepada BAM.

“Bagaimanapun, kalau Datuk Lee Chong Wei tidak beraksi, saya akan diletakkan sebagai perseorangan pertama. Saya rasa sukar juga bagi kita untuk mengumpul mata,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 itu.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia akan berlangsung dari 15 hingga 21 Februari, dengan empat pasukan terbaik layak secara automatik ke Piala Thomas 2016.

Ditanya mengenai persiapan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia minggu depan, Wei Feng berkata, dia bakal berdepan undian sukar apabila bertemu perseorangan India, K Srikanth.

“Bagaimanapun, saya anggap kejohanan itu episod baru buat saya bagi 2016, begitu juga GP Emas Terbuka India nanti. Saya harus melakukan sesuatu yang istimewa kerana sekarang ini di mana-mana kejohanan sekalipun undian semakin sukar.

“Tahun lalu di GP Emas Terbuka India saya tumpas kepada Srikanth di suku akhir. Ketika itu saya mengalami kecederaan terkoyak otot bahagian paha. Jadi saya harap di tempat sendiri, mampu melakukan sesuatu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:47 AM