Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei membuka peluang dua pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren berlumba-lumba untuk menyerlah terutama menjelang aksi awal musim depan.

Chong Wei yang masih menunggu Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) kehilangan kedudukan ranking nombor satu dunia, namun semangat dua rakan sepasukannya harus dipuji.

Bagi Wei Feng selepas gagal membantu pasukan negara mengekalkan kejuaraan Piala Axiata 2014 dan berdepan masalah kecederaan buku lali kanan, ia tidak langsung mematahkan semangatnya untuk bangkit semula tahun depan.

“Saya yakin akan kembali sembuh menjelang Grand Prix Emas Masters Terbuka Malaysia Januari depan,” kata pemain kelahiran Sungai Petani itu.

Jelasnya, selain GP Emas Masters Terbuka Malaysia, dia juga berharap mampu untuk mengambil bahagian dalam di GP Emas Terbuka India.

“Saya sudah memulakan latihan ringan dan yakin akan kembali tepat pada masanya. Bagaimanapun saya sedikit terkilan kerana terlepas peluang beraksi di Sirkit Kebangsaan Akhir 2014 Kuala Terengganu minggu depan.

“Mungkin ada hikmahnya saya tidak beraksi di Sirkit Kebangsaan Akhir bagi membolehkan saya mempersiapkan diri untuk cabaran lebih besar tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Daren pula, berharap ketiadaan Wei Feng di Sirkit Kebangsaan Akhir membolehkannya meraih kejuaraan terakhir musim ini.

“Tahun ini memang amat mengecewakan saya dan masih bergelut dari aspek kergasan. Harapan saya adalah untuk beraksi lebih banyak kejohanan tahun depan dan mencari keputusan positif.

“Saya memenangi Sirkit Kebangsaan Terbuka Perak tahun ini dan ia sesuatu yang bagus jika menamatkan musim ini dengan muncul juara di Terengganu,” katanya.

Daren juga turut berada dalam skuad Pial Axiata dan bergilir dengan Wei Feng untuk kategori perseorangan lelaki namun mereka hanya berjaya membantu Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tumpas kepada juara, Indonesia.

Selain Piala Axiata, Daren turut beraksi dalam acara berpasukan lain seperti Piala Thomas 2014 New Delhi dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

“Saya perlu bangkit menjelang musim baru dan salah satu sasaran saya tahun depan ialah memperbaiki ranking serta mara ke Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya.

Semua pemain badminton akan sibuk memburu mata untuk mara ke Olimpik bermula Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:30 AM