Kuala Lumpur: “Saya nekad untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir.” Itulah azam pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng (gambar) walaupun peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 agak tipis.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, peluangnya untuk mengiringi Datuk Lee Chong Wei ke temasya itu memang tipis namun dia masih menganggap ia belum tertutup dalam masa yang sama bergantung kepada prestasi semasanya.

“Bergantung kepada tiga atau empat kejohanan termasuk Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia minggu depan. Setiap kejohanan yang disertai saya harus memberikan aksi terbaik baru ada peluang untuk melayakkan diri,” katanya.

Berdasarkan ranking semasa Wei Feng adalah pemain keempat terbaik negara di belakang Chong Wei, Zulfadli Zulkiffli dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Dia harus memintas Zulfadli dan Iskandar Zulkarnain untuk berada di kedudukan pemain kedua terbaik negara dalam masa yang sama mengharapkan ada pemain dari negara lain menarik diri atau melebihi kuota negara masing-masing.

“Saya memang nekad, kerana ini mungkin peluang terakhir untuk ke Olimpik. Selepas ini umur saya akan menjangkau 33 tahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya yang akan memulakan aksi Masters Malaysia bertemu pilihan kedua dari India, K Srikanth.

Ujarnya, bertemu Srikanth pada pusingan pertama bukan satu tugas mudah.

“Saya harap mampu memberikan aksi konsisten di Pulau Pinang nanti. Saya juga masih belum pasti sama ada ini adalah tahun terakhir bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas Olimpik Rio nanti baru saya akan lihat kembali tawaran yang diberikan kepada saya,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 8:17 AM