AL AMIN (kanan) memberi taklimat kepada skuad badminton Piala Thomas/Uber.
AL AMIN (kanan) memberi taklimat kepada skuad badminton Piala Thomas/Uber.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada masalah dan berpuas hati. Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid mengakui persiapan skuad kelayakan Piala Thomas dan Uber berjalan lancar walaupun ada pemain berlatih bersama untuk dua hari saja.

 Menurutnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati selepas melihat latihan kedua-dua skuad berkenaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

“Kita kesuntukan masa untuk latihan pusat kerana ada pemain terbabit dengan kejohanan luar. Jadi kita hanya menganjurkan latihan bersama (kelmarin dan semalam) untuk meningkatkan semangat berpasukan,” katanya kepada dalam sidang media semalam.

Pemain perseorangan lelaki, Zulfadli Zukiffli dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho tidak berlatih bersama apabila akan berlepas ke Bangkok esok untuk beraksi di Grand Prix (GP) Emas Masters Thailand yang berlangsung dari 8 hingga 13 Februari ini.

“Saya rasa pemain yang mungkin terkesan dengan tempoh singkat latihan bersama ini ialah Zulfadli (pemain bebas) kerana pemain lain sudah mengenali antara satu sama lain apabila berada dalam BAM,” katanya.

Dalam pada itu Al Amin mengakui undian skuad Piala Thomas lebih baik apabila berada satu kumpulan bersama penyandang juara, Jepun dan Sri Lanka selain Nepal, namun beliau mahu semua pemain menerima hakikat sesiapa saja beraksi di pusingan kelayakan itu sudah tentu mahukan kemenangan.

“Jangan anggap Sri Lanka dan Nepal mudah dikalahkan. Bagi Piala Uber pula undian mereka sangat sukar, namun apa saja boleh berlaku dalam kejohanan berpasukan.

“Saya harap pemain dapat menikmati setiap perlawanan walaupun ada yang kali pertama beraksi di kejohanan seperti ini. Kalau kalah sekalipun biar melawan,” katanya.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Zulfadli mengakui bukan masalah besar apabila hanya berlatih selama dua hari bersama-sama rakan lain kerana terpaksa bertolak ke Thailand untuk beraksi di Grand Prix (GP) Emas.

“Saya juga tidak rasa seperti ‘orang luar’ apabila berlatih bersama pemain lain di sini, sebab kami semua sudah mengenali antara satu sama lain, walaupun saya pemain bebas. Pihak pengurusan dan jurulatih juga melayan saya dengan adil bersama rakan-rakan lain,” kata pemain ranking ke-38 dunia itu.

Kejohanan Asia Berpasukan yang dijadikan kelayakan Piala Thomas/Uber 2016 akan berlangsung di Hyderabad, India pada 15 hingga 21 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:51 AM