WEI Feng
WEI Feng
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2015 bermula esok akan menguji tahap kekuatan mental pemain negara ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilanda kemelut kontrak jurulatih.

GP Emas Masters yang berlangsung di Kuching juga adalah mukadimah buat pemain negara membuktikan mereka sudah bersedia untuk memulakan musim baru yang dijangka lebih mencabar terutama dengan ketiadaan ikon, Datuk Lee Chong Wei.

Tumpuan bagi saingan ini sudah tentu terarah kepada pemain senior seperti Liew Daren, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Jika ada di antara mereka berjaya mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir ia menunjukkan pemain badminton negara sudah bersedia untuk menempuhi cabaran 2015 dan berjaya melupakan seketika kemelut kontrak jurulatih.

Bagaimanapun, pilihan pertama seperti K Srikanth (India) untuk perseorangan lelaki, Carolina Marin (Sepanyol) bagi acara perseorangan wanita dan Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl (Denmark) dalam beregu wanita bakal memberi kesukaran buat pemain negara.

Daren dan Wei Feng akan berdepan cabaran getir seawal pusingan pertama apabila mereka menentang pemain berpengalaman dari Jepun dan Indonesia.

Perlawanan ulangan saingan akhir Piala Thomas 2014 New Delhi akan berlaku apabila Daren diundi menentang Takuma Ueda, pemain yang mengalahkannya sekali gus menggagalkan harapan Malaysia untuk menjulang trofi itu.

Sementara itu Wei Feng pula akan berdepan Sony Dwi Kuncoro dan jika menang laluannya dilihat mudah untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Pasangan beregu negara, V Shem-Wee Kiong yang meraih gangsa pada Sukan Asia 2014 Incheon perlu segera menunjukkan kematangan mereka supaya dapat memberikan keyakinan kepada peminat sebelum bekerja keras untuk mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik 2016 Rio bermula Mei depan.

Kesimpulannya, ini adalah kejohanan sulung terbaik tahun ini buat pemain negara meraih keyakinan dan diharap ia dapat dimulakan dengan langkah kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:09 AM