Kuala Lumpur: Status sama ada pemain perseorangan negara Chong Wei Feng (gambar) mampu beraksi di Seluruh England 2015 bulan depan hanya dapat ditentukan Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai, segala-galanya bergantung kepada pemeriksaan susulan ISN yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Wei Feng sudah pasti mahu menyertai kejohanan ini. Begitu juga ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek, bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2012,” katanya ketika ditemui di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Jelasnya, selepas mendapat maklum balas ISN baru pihak pengurusan BAM membuat keputusan sama ada Wei Feng menyertai kejohanan Siri Super Premier itu.

Wei Feng bergelut untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha kiri dialami pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 bulan lalu.

Pemain kelahiran Sungai Petani itu dijadual menentang perseorangan India, Anand Pawar di peringkat kelayakan.

Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang masih digantung sementara Persatuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan tiada wakil negara beraksi pada pusingan undian utama.

Selain Wei Feng, dua lagi pemain Malaysia yang beraksi pada pusingan kelayakan ialah Mohamad Arif Latif dan Zulfadli Zulkiflli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:29 AM