Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen tetap gembira walaupun skuad badminton negara gagal mencapai sasaran empat pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura yang berakhir kelmarin..

Dua emas yang diraih melalui perseorangan lelaki, Chong Wei Feng dan beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, mengulangi pencapaian terbaik di Vietnam 2013.

Kegembiraan Frost mungkin ada benarnya kerana mereka berjaya menggondol empat perak melalui beregu wanita Vivian Ho-Woon Khe Wei (beregu wanita), Mohd Arif Latif (perseorangan lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan berpasukan wanita, manakala dua gangsa dari berpasukan lelaki serta Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Setidak-tidaknya pencapaian di Myanmar berjaya dipulihkan apabila dua tahun lalu mereka hanya meraih satu emas dan tiga gangsa.

“Saya percaya, enam wakil di saingan akhir adalah prestasi yang sangat membanggakan. Saya tahu ramai yang sangsi dengan kemampuan kami sebelum ini,” katanya selepas acara badminton melabuhkan tirainya semalam.

Jelasnya, pasukan badminton hampir mengulangi pencapaian cemerlang 1975 (40 tahun lalu) iaitu meraih tiga emas.

Bekas pemain perseorangan Denmark itu gembira dengan prestasi Jin Wei, 15 tahun, dan Wei Feng yang sebelum ini menimbang untuk meninggalkan skuad kebangsaan apabila tidak dipilih menyertai Kejohanan Dunia 2015 Jakarta Ogos depan.

“Wei Feng sebenarnya beraksi baik dalam aksi separuh akhir semalam (kelmarin) menentang

Tanongsak (Saensomboonsuk) dan kami mahu dia mampu berada dalam ranking 16 terbaik selepas ini.

“Ia mungkin satu cita-cita besar tetapi kami mahu dia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio bersama Datuk Lee Chong Wei,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 10:23 AM