AZMAN Ismail (kiri) memeriksa beras barangan keperluan asas disenaraikan untuk tambahan stok bekalan banjir di semua premis yang dilantik ketika melakukan pemantauan di sebuah premis pemborong di Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZMAN Ismail (kiri) memeriksa beras barangan keperluan asas disenaraikan untuk tambahan stok bekalan banjir di semua premis yang dilantik ketika melakukan pemantauan di sebuah premis pemborong di Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 143 pemborong terpilih (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah bagi memastikan keberadaan bekalan barang keperluan asas mencukupi ketika musim banjir.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya sudah melantik sebanyak 105 premis sebelum membuat tambahan 38 premis lagi sebagai persediaan sepanjang tempoh lima bulan itu.

Menurutnya, premis yang dilantik itu dibenarkan menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus kuantiti daripada had simpanan sedia ada dalam lesen asal sepanjang tempoh bencana itu.

"Kita melantik 143 pemegang stok mini iaitu 79 premis DDR, DDW (52) dan 12 kategori lain-lain termasuk stesen minyak di semua lokasi yang dijangka terbabit dengan banjir.

"Lantikan ini dibuat berdasarkan kedudukan mereka sebagai pemegang Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA), lokasi serta kapasiti perniagaan barang kawalan serta keperluan asas yang dijalankan.

"Kerjasama dan penyelarasan antara KPDN dengan pemegang stok mini sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi ketika berlaku banjir," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Azman berkata, sebanyak 26 barangan keperluan asas disenaraikan untuk tambahan stok bekalan banjir di semua premis lantikan antaranya gula, minyak masak, tepung gandum, telur, beras, ayam, bawang, diesel serta petrol.

Menurutnya, KPDN mengambil kira pengalaman kejadian banjir besar pada 2014 apabila bekalan makanan tiada kerana terputus hubungan dan pihaknya terpaksa mendapatkannya menerusi jalan udara.

"Pengalaman banjir pada 2014 lalu, kita berdepan dengan situasi bekalan makanan terputus dan terpaksa mendapatkan bantuan dari tentera menerusi jalan udara," katanya.

Katanya, pihaknya memberi jaminan tidak akan berlaku isu menyorok barang keperluan asas dalam kalangan peruncit atau pemborong sepanjang musim banjir kerana pihaknya akan sentiasa turun padang membuat pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 1:05 PM