AZMAN Ismail  (kiri) diringi Chua Hock Soon meninjau bekalan terkawal ketika Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZMAN Ismail (kiri) diringi Chua Hock Soon meninjau bekalan terkawal ketika Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 105 pemborong utama (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah bagi memastikan keperluan asas mencukupi ketika musim banjir.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, mereka akan dibenarkan menambah kuantiti had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had sedia ada dalam lesen asal dalam tempoh bencana itu.

"Pemborong utama dan peruncit barang kawalan serta keperluan asas yang dilantik ini adalah pemegang stok mini dan mereka hendaklah memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Dalam pelan kontigensi yang ditetapkan, mereka dibenarkan menambah had simpanan bekalan barang kawalan daripada had simpanan sedia ada dalam tempoh musim tengkujuh sehingga Mac depan," katanya.

Terdahulu, Azman melakukan sesi 'walkabout' bagi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pengeluar, pemborong, pengimport, persatuan dan agensi kerajaan berkaitan sebagai persediaan menghadapi banjir.

Katanya, KPDN juga akan mengaktifkan bilik gerakan bermula 8 pagi hingga 10 malam untuk menerima aduan berkaitan bekalan barangan asas dan keperluan harian sepanjang musim banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:47 PM