FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan sudah melantik 50 pemborong utama dan peruncit terpilih bagi menyelia bekalan barang keperluan asas ketika banjir.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, pemborong utama dan peruncit terpilih itu dilantik di setiap daerah mengikut pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kawasan terbabit.

Beliau berkata, objektifnya bagi memastikan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga ditetapkan kerajaan.

"Mereka adalah pemegang mini stok yang akan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Kami juga memberi kebenaran kepada mereka yang dilantik ini untuk menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi kuantiti had simpanan sedia ada dalam lesen asal barang kawalan berjadual sepanjang tempoh musim bencana ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan dan keperluan asas peringkat peruncit dan pemborong dari semasa ke semasa.

Selain itu, mereka juga mengadakan sesi libat urus jalinan kerjasama dengan pengeluar, pemborong, pengimport, persatuan dan agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri yang terbabit dalam menghadapi banjir di negeri ini.

"Dalam tempoh ini juga KPDNHEP Kelantan mengaktifkan Bilik Gerakan sejak Ahad lalu bermula 8 pagi hingga 10 malam membabitkan cawangan Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang untuk menerima sebarang aduan berkaitan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 12 notis bertulis mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan di peringkat pemborong manakala 11 notis di peringkat peruncit bagi rantaian pembekalan dan pengedaran bawang bermula 23 September lalu sehingga semalam.

Adnan turut menasihati pengguna supaya tidak panik dan mengelakkan membuat pembelian secara banyak atau berlebihan kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi.

"Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan serta mematuhi perundangan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 3:08 PM