FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Sebanyak 731 pemborong terpilih daerah (DDW), peruncit terpilih daerah (DDR) dan pengilang terpilih daerah (DDM) di seluruh negara dibenarkan menyimpan tambahan 30 peratus barang kawalan daripada had simpanan lesen.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini, 428 DDR, 299 DDW dan empat DDM di 246 kawasan sudah dilantik pihaknya untuk menyimpan kuota bekalan sepanjang peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang musim tengkujuh terutama di negeri Pantai Timur yang kerap dilanda banjir.

Katanya, kesemua DDW, DDR dan DDM itu dibenarkan untuk menyimpan stok tambahan barang kawalan sebanyak 30 peratus daripada had simpanan lesen dalam situasi kecemasan.

"Kita memang sentiasa peka dengan musim monsun terutama di pantai Timur dan apa yang dilakukan ini adalah antara pelan kontigensi dan langkah pro-aktif bagi menghadapi bencana alam.

"Tujuannya untuk memastikan keperluan pengguna dan mangsa banjir tidak terputus dan sentiasa mencukupi," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang Dr Mamad Puteh dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Rosol berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan di 1,030 pusat pemindahan sementara (PPS) dan penduduk di kawasan berisiko dilanda banjir tidak terputus bekalan.

"Justeru, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan mencukupi dan kita akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:33 PM