BEKALAN bahan makanan dijamin KPDNHEP mencukupi di Melaka walaupun banjir. FOTO HASSAN OMAR
BEKALAN bahan makanan dijamin KPDNHEP mencukupi di Melaka walaupun banjir. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Tiada masalah kekurangan bekalan bahan makanan dilaporkan di negeri ini, terutama sepanjang musim banjir sejak minggu lalu.

Sebanyak 58 pemborong daerah terpilih (DDW), 140 peruncit daerah terpilih (DDR) dan beberapa mini stok daripada DDW di negeri ini tidak melaporkan kekurangan bahan makanan sama ada sebelum musim banjir atau ketika beberapa kawasan dilanda banjir.

Sehubungan itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar memberi jaminan bekalan bahan makanan dan keperluan harian lain mencukupi.

"Kami melantik 58 DDW, 140 DDR dan sejumlah mini stok daripada DDW, iaitu peniaga bahan makanan dan barangan di seluruh negeri yang berfungsi sebagai pembekal dan pengedar.

"Mereka perlu memberikan laporan status barangan keperluan kepada kami secara harian bagi memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, pegawai penguat kuasa kementerian itu melakukan pemeriksaan harian bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Menurutnya, antara bahan makanan penting dipantau setiap hari ialah minyak masak, gula, tepung, telur, beras, ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

"Mengenai bekalan bawang India, pemantauan pegawai KPDNHEP tidak menemukan sebarang tindakan pemborong atau peniaga menyorok bahan makanan itu.

"Bagaimanapun, kenaikan harga bawang India tidak dapat dielakkan berikutan kekurangan bekalan akibat banjir di India.

"Negara kita turut mengimport bawang dari Thailand, Pakistan, China, Myanmar serta Indonesia dan pengguna boleh mendapatkannya pada harga lebih rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:43 PM