FUZIAH ketika sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 dan kerjasama mengeksport produk Malaysia ke luar negara. FOTO Nur Elysa Amirah Suhaimi
FUZIAH ketika sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 dan kerjasama mengeksport produk Malaysia ke luar negara. FOTO Nur Elysa Amirah Suhaimi
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Setahun Kerajaan Perpaduan menyaksikan penurunan Kadar Inflasi dan Indeks Harga Pengguna (IHP) menerusi inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kadar inflasi sebanyak empat peratus ketika kerajaan mengambil alih pada Disember tahun lalu berjaya menurun sebanyak 1.8 peratus pada Oktober lalu.

"Sub kategori makanan dalam dan luar rumah adalah penyumbang utama kepada inflasi dan KPDN mengambil inisiatif mewujudkan Menu Rahmah dan Jualan Rahmah.

"Melalui inisiatif itu, IHP untuk sub kategori makanan luar rumah menurun dari 9.6 peratus pada Disember lalu kepada 5.6 peratus.

"KPDN percaya inisiatif ini berjaya kerana data tidak menipu dan ia ukuran sebenar," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 dan kerjasama mengeksport produk Malaysia ke luar negara di sini, hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN melantik pemborong dan peruncit untuk menambah stok bekalan asas di negeri berisiko banjir.

"Arahan dikeluarkan untuk melantik pemborong dan peruncit dan menambah sebanyak 30 peratus stok bekalan sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Setakat ini, tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan dan sekiranya berlaku banjir besar, kita bersedia dengan memberi pemborong dan peruncit lesen khas untuk menambah bekalan.

"Saya sendiri sudah turun padang di Kelantan dan Pahang dan mereka sudah melantik pemborong dan peruncit," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:12 PM