PESERTA program bergambar bersama penghuni Teratak Nur Barakah selepas selesai majlis penyerahan sumbangan. FOTO Ihsan pembaca.
PESERTA program bergambar bersama penghuni Teratak Nur Barakah selepas selesai majlis penyerahan sumbangan. FOTO Ihsan pembaca.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Mahu berkongsi nikmat hari raya Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi, 12 pelajar program Pengurusan Komunikasi dan Polisi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyantuni anak yatim Teratak Nur Barakah di Seksyen 24, Shah Alam, baru-baru ini.

Dengan tema 'take a break, and communicate,' barangan berupa keperluan asas disalurkan kepada 21 orang penghuni rumah berkenaan.

Penasihat projek dan pensyarah kanan, Dr Tengku Elena Tengku Mahamad berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali ini memilih rumah anak yatim itu susulan kekangan kewangan yang dihadapi mereka berikutan situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

"Alhamdulillah, melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, kami berjaya mengumpulkan sumbangan keseluruhan melebihi RM5,000 termasuk wang tunai.

"Walaupun jumlah itu tidak seberapa, namun kami harap ia dapat mengurangkan beban kewangan terutamanya dalam membuat persiapan menjelang hari raya Aidiladha tidak lama lagi," katanya.

Menurutnya, projek CSR kali ini juga sebagai inisiatif untuk melatih pelajar supaya membabitkan diri dengan kegiatan bersama masyarakat sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Katanya, ia diharap dapat mendedahkan mereka kepada nilai-nilai murni dan melatih sikap suka berbakti kepada anggota masyarakat.

Sementara itu, penyelia rumah anak yatim, Nur Azilah melahirkan penghargaan terhadap inisiatif yang diambil dalam menyantuni rumah anak yatim yang diuruskannya.

"Kehadiran mereka sangat bermakna dan membawa kegembiraan kepada saya dan anak-anak yatim di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 11:25 AM