SITI Fatimah (barisan depan, tiga dari kanan) bersama pengasas dan penghuni Rumah Bakti Al Kausar Bangi. FOTO Ihsan Siti Fatimah Suberi
SITI Fatimah (barisan depan, tiga dari kanan) bersama pengasas dan penghuni Rumah Bakti Al Kausar Bangi. FOTO Ihsan Siti Fatimah Suberi
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya pula yang sebak tengok anak-anak di sini tersenyum selepas mereka siap ditatarias," kata pengasas tudung Loveta, Siti Fatimah Suberi, 35, yang menyantuni anak yatim dengan menjalankan program makeover dan tatarias kepada penghuni perempuan di Rumah Bakti Al Kausar di Bangi, Selangor.

Menurutnya, program tanggungjawab sosial (CSR) itu adalah yang pertama dilakukan pihaknya selain meneruskan legasi Allahyarham penyanyi Siti Sarah.

Menurutnya, menerusi program itu seramai 15 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara 10 hingga 17 tahun diberi sentuhan jurusolek dengan menggayakan koleksi tudung terbaharu Loveta, Assyfa Manes.

"Program ini juga dapat mendekatkan lagi anak-anak Allahyarham Siti Sarah akan kehidupan anak yatim di situ, walaupun mereka juga anak yatim, tapi suasana dan persekitaran kehidupan mereka berbeza.

"Lagi pula, semasa hayat arwah, dia suka buat program CSR bersama anak yatim dan rumah kebajikan. Jadi, biar anak-anak arwah tahu," katanya kepada Harian Metro.

Memilih Rumah Anak Yatim Al Kausar sebagai lokasi pelancaran, Siti Fatimah berharap ia menjadi permulaan yang baik bagi tahun ini.

"Arwah pernah berkata kepada saya permulaan yang baik pasti ada kemanisan yang Allah akan berikan. Jadi saya pun ambil peluang ini dan meraikan bersama anak-anak yatim.

"Antara sebab lain, saya adakan di sini juga adalah kerana saya belum dikurniakan zuriat, sekurang-kurangnya anak ini boleh mendoakan saya semoga perniagaan terus maju dan memiliki cahaya mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 11:07 PM