PENGHUNI Rumah Kasih Harmoni menerima bantuan membabitkan  barangan keperluan harian.
PENGHUNI Rumah Kasih Harmoni menerima bantuan membabitkan barangan keperluan harian.
Suliati Asri


DALAM usaha membantu dan menyantuni anak-anak yatim dan asnaf, pelajar semester tiga Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Program Bina Remaja Anak Yatim, Advokasi Sosial dan Tanggungjawab Sosial Komuniti (CSR) di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Selangor baru-baru ini.

Program yang diadakan sehari itu dianjurkan dengan kerjasama EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor serta Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK) Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Negeri Selangor.

Ketua Program, Nur Sarah Najwa Azmi berkata, program itu inisiatif yang diambil bagi mengeratkan silaturahim dan membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Katanya, program itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti barangan keperluan harian iaitu makanan, pakaian dan wang ringgit.

"Dengan pandemik Covid-19, masih ramai masyarakat memerlukan bantuan dan sentiasa berusaha untuk menampung kehidupan.

"Jadi kami berharap, sebagai golongan masyarakat yang prihatin, seharusnya kita perlu membantu supaya golongan yang ditimpa musibah ini boleh meneruskan kelangsungan hidup," katanya yang juga Ketua Parlimen SPEAK.

Selain itu, Nur Sarah Najwa berkata, program itu memberikan pendedahan kepada penghuni rumah anak yatim iaitu seramai 102 orang dengan konsep pengetahuan asas, nilai sivik dan kewarganegaraan di luar kelas.

"Melalui program ini juga, kami dapat menyelami perasaan anak-anak yatim dan asnaf dengan aktiviti 'knowledge-transfer' di mana pihak SPEAK PEMADAM Negeri Selangor memberikan pendidikan pencegahan melalui aktiviti menonton filem berunsurkan pengajaran supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

SESI menyelami perasaan anak yatim dan asnaf menerusi aktiviti "knowledge-transfer.'
SESI menyelami perasaan anak yatim dan asnaf menerusi aktiviti "knowledge-transfer.'

"Pengisian ini secara tidak langsung dapat memberi input kepada anak-anak di usia muda supaya memantapkan jati diri supaya tidak terlibat dengan dadah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan Komunikasi dan Jaringan FKPM UITM selaku penasihat program Dr Suhaimee Saahar pula berkata, program sebegini dapat memberikan pencerahan kepada anak-anak di rumah Kasih Harmoni melalui program perkongsian ilmu daripada pegawai PEMADAM mengenai keburukan dadah.

"Melalui usahasama pelbagai pihak dalam pengajuran program ini juga, ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar UiTM khususnya dalam mewujudkan nilai keprihatinan dalam usaha mengumpulkan dana bagi Rumah Kasih Harmoni.

"Saya berharap program sebegini dapat dijalankan lebih giat di masa hadapan dengan pembabitan pelajar UiTM dan pelbagai persatuan bagi meningkatkan jati diri serta menggalakkan pembabitan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 6:30 AM