Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari RAYSSAAS, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari RAYSSAAS, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan sejumlah RM1.7 juta tahun ini untuk diagihkan kepada 11,386 anak yatim membabitkan 6,388 keluarga yang berdaftar di bawah yayasan berkenaan.

Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor, berkata sumbangan untuk ibadah puasa serta persiapan Aidilfitri itu diagihkan secara berperingkat bermula esok membabitkan enam lokasi di Selangor dan Melaka iaitu Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSSAAS), Melaka dan Masjid Nurul Iman, Batu 10.

Menurutnya, turut menerima sumbangan itu adalah Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Daerah Sabak Bernam; Masjid Nurul Iman, Serendah; Masjid Taman Putra Perdana dan Masjid Asy-Syakirin, Gombak.

"Menjadi kewajipan YIDE untuk menyalurkan sumbangan kepada anak yatim serta golongan memerlukan tetap diteruskan demi kelangsungan kebajikan serta pembangunan kendiri.

"Sebagai tanda keprihatinan kami, YIDE komited dalam membantu golongan berkenaan daripada segi sumbangan Aidilfitri khususnya di Selangor dan Melaka ini," katanya selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyantuni dan menyampaikan sumbangan itu kepada anak yatim RAYSSAAS di Tanjung Kling, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Amir turut menyampaikan sumbangan tunai keseluruhan RM8,700 kepada 29 penghuni rumah anak yatim terbabit selain 29 kain sarung serta 100 kilogram beras untuk kegunaan sepanjang Ramadan.

Yang turut hadir, beberapa Orang Besar Istana Selangor termasuk Tengku Salehuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah serta Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Miszairi Sitiris serta pengurusan rumah anak yatim itu.

Mazlan berkata, menerusi sumbangan itu diharap dapat membantu persiapan menyambut hari raya anak yatim berkenaan dan menceriakan mereka dalam menjalani ibadah puasa.

"Program ini adalah wadah kebersamaan antara YIDE dan penyumbang demi kelangsungan kebajikan dan manfaat kepada anak yatim dan juga mereka yang memerlukan di Selangor dan Melaka. Saya mendoakan semoga kita dapat meneruskan usaha menyantuni golongan sasaran termasuklah anak yatim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 4:36 PM