Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Proses memisahkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada Fakulti Sains Komputer & Matematik serta Fakulti Sains Informasi, akan dilaksanakan segera.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor bagaimanapun berkata, proses itu mengambil masa paling pantas sekitar tiga bulan.

Menurutnya, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) meminta beliau menyegerakan perkara itu menerusi mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM.

"Pemisahan (FKPM) ini perlu berlaku 'sesegera yang mungkin' dan bukan 'serta-merta'," katanya pada sidang media di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini,tadi.

DATUK Mohammad Yusof Apdal (berbaju putih, kot) bersama para pemenang pada majlis perasmian penutup UiTM. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
DATUK Mohammad Yusof Apdal (berbaju putih, kot) bersama para pemenang pada majlis perasmian penutup UiTM. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Terdahulu, beliau hadfir pada majlis perasmian penutup UiTM health competition - Raising Awareness On Rare Disease & Mental Health serta pelancaran buku 'Memperkasa Kesejahteraan Komuniti' dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Semalam, media melaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju supaya FKPM tidak bergabung dengan Fakulti Sains Komputer & Matematik serta Fakulti Sains Informasi.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata, ia susulan bantahan sebelum kementerian memutuskan supaya FKPM tidak digabungkan seperti diumumkan Roziah pada Oktober lalu.

Dalam pada itu, Roziah berkata, beberapa perkara perlu dibuat sebelum proses pemisahan FKPM dilakukan antaranya pembentukan semula jawatan dekan, struktur organisasi, sumber kewangan dan lain-lain.

"Semua perkara ini perlu dibentang semula kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM untuk kelulusan.

"Macam mana kami buat proses penggabungan dulu, macam itu pemisahannya juga. Semua ini akan mengambil sedikit masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 4:09 PM