KAKITANGAN KOPETRO membantu memilih baju penghuni Rumah Anak Yatim Ummi Selangor.
KAKITANGAN KOPETRO membantu memilih baju penghuni Rumah Anak Yatim Ummi Selangor.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) meraikan 32 anak yatim dan miskin dengan membelikan persiapan menyambut Aidilfitri di Wisma Jakel, di sini, semalam.

Program tahunan oleh KOPETRO dengan kerjasama Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) dan Rumah Anak Yatim Ummi Selangor, Kajang itu antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan membantu meringankan beban anak yatim dan miskin yang terpilih menerusi program zakat KOPETRO.

Pengurus Sumber Manusia merangkap Setiausaha Program Zakat KOPETRO Sapiah Idris berkata, program itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di antara kakitangan syarikat dengan anak yatim.

“Program ini dapat meringankan beban, sekali gus merapatkan ukhuwah di antara kakitangan KOPETRO sebagai sebuah koperasi dengan masyarakat sesama bangsa dan agama dalam meninggikan syiar Islam.

“Melalui program ini, ia sedikit sebanyak dapat menyantuni pelajar dan juga anak yatim di rumah berkenaan dalam membeli pakaian raya mereka,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, KOPETRO memperuntukkan RM4,800 untuk membeli pakaian raya anak yatim di rumah berkenaan.

“Dalam program ini, setiap anak yatim menerima sumbangan RM150 seorang untuk membeli dua pasang baju raya bagi menyambut Aidilfitri.

“Program yang menjadi acara tahunan KOPETRO ini amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim dan miskin yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:55 AM