GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Seramai 35 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran dijangkiti Covid-19 sehingga mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Jalan Beluran Lama.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang berkaitan institusi pendidikan itu membabitkan kes indeks seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun dikesan melalui

saringan bergejala pada 17 Februarilalu.

"Selepas saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 34 kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 35 kes positif setakat hari ini.

"Jumlah kumulatif itu adalah hasil saringan terhadap 75 kontak rapat kepada kes indeks. Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 5,007 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 308,476 kes.

"Sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Ranau, Lahad Datu, Keningau dan Beaufort.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 4,107 menjadikan jumlah kumulatif 259,760 orang.

"Manakala 2,919 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,420 orang di hospital, 1,272 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 226 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan satu seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 8:42 PM